Friday, October 18, 2013

Ejaan Yang di-Pertuan’





Ejaan Yang di-Pertuan’





PELBAGAI cara mengeja frasa ‘Yang di-Pertuan’, ‘Yang di-Pertua’ ‘Yang Dipertua’ dan ‘Diraja’ atau ‘diraja’ yang dapat kita lihat dalam media-media cetak di negara kita. Ketidakselarasan penggunaan frasa tersebut telah menimbulkan kekeliruan kepada pengguna bahasa Melayu. Sepatutnya ejaan bagi frasa yang penting sebegini haruslah betul kerana berkaitan ketua bagi negara, negeri dan sesuatu pertubuhan atau organisasi. Perkara ini mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak kerana bagi mereka tiada apa-apa implikasi negatif  yang timbul akibat kesilapan ini. Namun kesilapan yang dilakukan ini pasti akan memberi gambaran yang negatif terhadap kecaknaan rakyat Malaysia kepada pemimpin mereka sendiri.

Namun, ada juga pihak yang sedar akan kesilapan ini. Tidak kurang juga yang berada dalam waswas kerana didedahkan dengan ejaan berbeza bagi sesuatu frasa. Aduan dan pertanyaan telah diajukan kepada pihak berkaitan, khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka berkenaan isu ini. Hasilnya, mulai tahun 2000, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Jawatankuasa Biro Pengaduan Bahasa mengambil inisiatif dengan memutuskan untuk melakukan penyelarasan bagi mengeja frasa tersebut supaya tidak timbul lagi kekeliruan. Bentuk penulisan yang betul telah diputuskan, iaitu:

(i) Yang di-Pertuan
(ii) Yang di-Pertua
(iii) Yang Dipertua

Manakala bentuk penulisan Yang Dipertuan seperti selalu digunakan dianggap salah.

Penggunaan frasa ‘Yang di-Pertuan’, ‘Yang di-Pertua’ dan ‘Yang Dipertua’ khusus untuk merujuk jawatan atau pangkat tertentu.

Frasa Yang di-Pertuan hanya digunakan khusus untuk ketua negara dan ketua negeri sahaja. Selain untuk kedua-dua pihak berkenaan, frasa Yang di-Pertuan tidak boleh digunakan. Contohnya:

(i)     Yang di-Pertuan Agong
(ii)     Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
(iii)     Yang di-Pertuan Negeri (Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak)

Frasa Yang di-Pertua pula digunakan khusus bagi ketua dalam Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan Negeri. Contohnya:

(i)     Yang di-Pertua Dewan Negara
(ii)     Yang di-Pertua Dewan Rakyat
(iii)     Yang di-Pertua Dewan Negeri

Frasa Yang Dipertua pula digunakan khusus untuk ketua sesebuah organisasi atau pertubuhan, persatuan dan lain-lain. Contohnya:

(i)     Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(ii)     Yang Dipertua Persatuan Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia
(iii)     Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu

 Selain penggunaan frasa di atas, ejaan bagi perkataan diraja  juga menimbulkan masalah. Ada pengguna yang mengeja perkataan itu sebagai ‘diraja’, ‘di-raja’ dan ‘di raja’. Sesuatu kekeliruan  itu perlu kita perbetulkan supaya kit tidak terus melakukan kesalahan dalam berbahasa.

Perkataan ‘diraja’ sebenarnya berasal daripada kependekan perkataan ‘adiraja’ yang bermaksud raja yang maha mulia dan perlu ditulis serangkai sebagai satu perkataan. Contohnya:

(i)     Nona memberitahu kawan rapatnya itu berasal daripada keturunan diraja.
(ii)     Kerabat diraja itu amat disenangi oleh masyarakat setempat kerana amat peramah.
(iii)     Majlis itu menjadi lebih istimewa dengan kehadiran kerabat-kerabat diraja.

Manakala perkataan ‘Diraja’ digunakan untuk nama khas. Contohnya:

(i)     Polis Diraja Malaysia
(ii)     Tentera Udara Diraja Malaysia
(iii)     Persatuan Kerabat Diraja

Penjelasan yang diberi ini diharapkan dapat membantu pengguna bahasa Melayu yang berada dalam keadaan waswas tentang ejaan sebenar frasa berkenaan. Kita tidak seharusnya terus berada dalam kesilapan dalam berbahasa kerana bahasa merupakan agen perhubungan. Bahasa Melayu milik kita semua, oleh itu bangsa Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan perlu berusaha untuk memantapkan bahasa Melayu.

Mantapnya sesuatu bahasa, maka mantaplah bangsanya seterusnya majulah negaranya. Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.


Tuesday, March 5, 2013

Sejarah Kesultanan Sulu di Sabah



Sejarah: 'Sepuluh Perkara' Tentang Sabah Dan Sulu Yang Perlu Di Ketahui Oleh Seluruh Rakyat Malaysia 


1. Sekitar abad ke 6, hampir keseluruhan kepulauan Borneo adalah di bawah jajahan takluk Kesultanan Negara Brunei. Seperti juga Sarawak yang rata-ratanya menjadi tanah kuripan kepada golongan bangsawan dan juga pembesar dari Kesultanan Brunei maka begitulah juga sebaliknya kepada Sabah. 

 2. Segalanya bermula apabila berlakunya perang saudara di Brunei di antara Sultan Mohammad Ali dan Pengiran Bendahara Abdul Hakkul Mubin. Dikhabarkan persengketaan ini berlaku kerana anakanda Sultan Mohammad Ali telah dibunuh oleh Pengiran Muda Bongsu sewaktu menyabung ayam. Sultan Mohammad Ali telah bertindak membunuh Pengiran Muda Bongsu dan ini menyebabkan Pengiran Bendahara Abdul Hakkul Mubin ingin menuntut bela dan seterusnya mengambil alih puncak pemerintahan Sultan Mohammad Ali. 



 3. Pembunuhan Sultan Mohammad Ali telah menyebabkan Pengiran Bendahara Abdul Hakkul Mubin menaiki takhta selepas kemangkatannya. Sebagai langkah keselamatan, Sultan Abdul Hakkul Mubin telah berpindah ke Pulau Chermin, sebuah pulau di muara Sungai Brunei. Sultan Abdul Hakkul Mubin kemudian melantik anak saudara Sultan Mohammad Ali sebagai Pengiran Bendahara Brunei iaitu Pengiran Muda Muhyiddin.

4. Pengiran Muda Muhyiddin naik takhta sebagai Sultan Negara Brunei dengan bergelar Sultan Muhyiddin selepas kemangkatan baginda. Dan sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Hakkul Mubin inilah kerajaan Brunei telah menghadiahkan Kesultanan Sulu yang dahulunya Adipati Brunei tetapi telah bertindak menubuhkan kesultanan sendiri kerana kelemahan empayar kesultanan Brunei pada masa itu. Malah apabila Sultan Abdul Hakkul Mubin memohon pertolongan malah kesultanan Sulu sanggup menghulurkan bantuan. Maka jadilah pantai Timur Borneo menjadi hak milik kepada Kesultanan Sulu pada tahun 1662.

5. Pada awal tahun 1760, satu perjanjian telah ditandatangani di antara Alexander Dalrymple dengan Kesultanan Sulu bagi membuka pangkalan perdagangan Syarikat Hindia-Timur British di Pulau Balembangan. Pulau Balembangan terletak kira-kira 20 batu dari utara Kudat. Kemudian nama Pulau Balembangan telah ditukar kepada Felecia Island. Setelah bertapak buat seketika akhirnya Syarikat Hindia-Timur Bristish pada tahun 1805 meninggalkan Pulau Balembangan kerana dikatakan tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan.



6. Pada tahun 1878, Baron Gustavus Von Overbeck, Konsul Jeneral bagi empayar Austro-Hungarian yang berpangkalan di Hong Kong telah membuat perjanjian dengan Kesultanan Sulu untuk menyerahkan hak tanah di bawah kuasa Sultan Sulu kepada Syarikat Overbeck. Perjanjian ini telah memberikan Sultan Sulu mendapat $5,000 setahun daripada Syarikat Overbeck. Nilai $5,000 adalah nilai dalam dollar Mexico yang mana pada ketika itu bersamaan dengan nilai emas.

7. Pada tahun yang sama, Syarikat Overbeck telah mengalami masalah kewangan teruk dan akhirnya memohon bantuan kewangan daripada Alfred Dent, seorang jutawan British pada masa itu. Alfred Dent telah sanggup membantu dengan bersyarat iaitu hanya wakil British dibenarkan untuk menguasai perniagaan di Sabah. Akhirnya Baron Gustavus Von Overbeck yang berbangsa Austria telah menyerahkan keseluruhan perniagaannya di wilayah Sabah kepada Alfred Dent untuk diuruskan. Disinilah bermulanya pengaruh Syarikat Berpiagam Borneo Utara keatas tanah jajahan kerajaan Sulu di Sabah.

8. Pada tahun 1888, Syarikat Berpiagam Borneo Utara , Negara Sarawak dan Negara Brunei telah menandatangani satu perjanjian dengan Kerajaan Mahkota British iaitu menjadikan ketiga-tiga negara ini menjadi negara perlindungan bagi Kerajaan Mahkota British. Perjanjian ini akan memastikan bahawa tiada mana-mana negara di antara ketiga-tiga ini akan meluaskan empayar negara masing-masing dan sekiranya berlaku sesuatu peperangan maka mereka akan membantu di antara satu sama lain.

9. Semasa Perang Dunia Ke-2 iaitu semasa Jepun mulai meluaskan kuasanya ke Asia Tenggara, Sabah juga tidak terkecuali mendapat tempias sehinggakan ianya telah mengalami kemusnahan yang teruk. Syarikat Berpiagam Borneo Utara telah tidak mampu untuk membangunkan Sabah pada masa itu jadi pada tanggal 15 Julai 1946, Sabah secara rasminya telah diberikan kepada Kerajaan Koloni British dan menjadi jajahan takluk British. Sepanjang menjadi jajahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara dan juga Koloni British, harga pajakan Sabah sentiasa dibayar kepada kerajaan Sulu.




10. Setelah Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963 dan bergabung membentuk Federasi Malaysia bersama-sama dengan Sarawak dan Malaya serta Singapura (Singapura keluar pada tahun 1965), tugas untuk membayar kepada Kerajaan Sulu juga berpindah tangan. Saban tahun Kerajaan Persekutuan Malaysia tetap membayar Kerajaan Sulu sebanyak RM5,300.00 (Ditambah RM300 oleh Kerajaan Malaysia) juga bagi mematuhi Perjanjian 1878. Terdapat klausa di dalam Perjanjian 1878 yang menyatakan bahawa sewaan ke atas Sabah harus dibayar sehingga tidak ada matahari dan bulan ataupun pada ertikata sebenar “Sewaan Sampai Kiamat”.