Friday, January 27, 2012

KESANTUNAN BERBAHASA

Kesantunan budaya Melayu dalam sistem panggilan

Menurut Kamus Dewan (1984) hal. 1126 sistem, bermaksud kaedah atau cara untuk melakukan / menyebut sesuatu, manakala penggilan hal. 901 bermaksud menyuruh datang dengan menyebut nama. Kesimpulannya sistem panggilan bermaksud cara atau kaedah untuk memanggil seseorang untuk datang atau bertegur.

Takrifan Kesantunan

Berbicara tentang santun dalam berbahasa, rasanya amatlah wajar untuk kita selusuri takrifan kesantunan itu sedalam-dalamnya. Menurut Kamus Dewan (1984), hal. 1115 santun bermaksud halus budi bahasa atau budi pekerti, beradab atau sopan. Awang Sariyan(2007) memberi definisi kesantunan sebagai penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicara. Menurut Asmah Haji Omar (2000), kesantunan mengikut perspektif Melayu ialah penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pendengar.

Santun dalam berbahasa bukan sahaja mendapat perhatian para pakar bahasa tempatan malah turut dikaji oleh para pengkaji bahasa dari barat. Leech (1983), menginterpretasikan kesantunan sebagai perlakuan yang dapat mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. Fishman J. Ferguson dan Das Gupta (1968), pula menyatakan kesantunan itu berlaku apabila kontrak perbualan digunakan oleh penutur dan pendengar sebagai usaha mengekalkan komunikasi yang harmoni tanpa menimbulkan sebarang konflik.

Grice telah mendefinisikan kesantunan merujuk kepada komunikasi secara santun dan hendaklah memperlihatkan prinsip kerjasama dan prinsip kesantunan Beliau telah membahagikan kesantunan kepada empat maksim iaitu:

i. maksim kuantiti

ii. maksim kualiti

iii. maksim pertalian (hubungan)

iv. maksim cara

Maksim kuantiti merujuk kepada apabila seseorang bercakap atau berkomunikasi haruslah didukung dengan fakta atau data yang lengkap agar terhindar daripada yang tidak benar atau lemah sebaliknya hendaklah membuat pernyataan yang betul dan tepat agar maklumat yang diberikan itu diterima pendengar dengan hati terbuka. Jika pendengar berminat untuk mendapatkan maklumat tambahan hendaklah disampaikan melalui pernyatan yang lebih kuat atau hujah-hujah yang kukuh. Selain itu penutur hendaklah diminta memberikan penjelasan akan sesuatu yang diperkatakan agar pendengar dapat menerima dengan hati terbuka tetapi jika tidak dapat memberikan sesuatu penjelasan atau memberikan sebahagian sahaja alasan akan dianggap biadap dan melanggar prinsip kesantunan.

Maksim kualiti pula bermaksud penutur tidak membicarakan hal yang benar sebaliknya mengatakan hal yang palsu atau tidak mempunyai bukti yang cukup kuat. Dalam konteks ini penutur akan memendamkan maklumat oleh sebab tidak ada pengetahuan yang cukup bagi meyakinkan pendengar.

Maksim pertalian pula bermaksud ketika berkomunikasi haruslah releven atau berkaitan dengan apa yang diucapkan. Penutur hendaklah bercakap dengan yang releven dan tidak menyimpang dengan tajuk yang diberikan. Penutur tidak oleh membuat sebarang andaian yang mengelirukan pendengar agar mematuhi prinsip kerjasama dan semasa memberikan maklumat ketika berkomunikasi hendaklah beradab dan tidak mengikut perasaan.

Maksim cara pula merujuk kepada cara seseorang itu berkomunikasi. Jika penyampaiannya menyingung perasan orang lain,dengan menggunakan bahasa kasar maka tujuan berkomunikasi secara santun tidak tercapai. Oleh itu ketika berkomunikasi hendaklah menggunakan pilihan kata, ungkapan santun yang menandakan bahawa keperibadian orang itu memang baik. Begitu juga jika seseorang itu berpura-pura bersantun di hadapan khalayak sedangkan dia tidak ikhlas maka daia telah melanggar prinsip kesantunan.

Asmah Hj. Omar (2000), pula menyatakan kesantunan ialah kaedah atau strategi yang digunakan oleh penutur untuk mencapai tujuan tertentu. Strategi ini dikaitkan dengan kesantunan dan perlu dikuti dengan tingkah laku dan tutur kata yang santun. Strategi kesantunan melibatkan beberapa faktur seperti kesedaran akan peranan masing-nasing, k tentang perbezaan taraf sosial, kuasa dan keperluan mengawal perbincangan berdasarkan tajuk atau air muka yang meliputi maruah dan martabat.

Asmah Hj. Omar (2000), telah membahagikan kesantunan kepada dua jenis iaitu

i. kesantunan asas dan

ii. kesantunan berkala.

Kesantunan asas ialah kesantunan sedia ada yang merupakan pedoman bagi masyarakat berhubung antara satu sama lain. Dengan cara menunjukkan adanya sikap berbaik-baik antara satu sama lain yang menghendaki ahli masyarakat bersopan santun antara satu sama lain. Ini kerana dalam mana-mana masyarakat yang bertamadun ada kesopanan asas yang dikaitkan dengan didikan sejak awal lagi seperti yang terdapat dalam ajaran Islam atau agama-agama lain.

Kesantunan berkendala pula merujuk kepada kesantunan yang menggambarkan ucapan yang dilakukan oleh masyarakat dalam hubungan antara satu sama lain. Antara kendala tersebut ialah taraf dan peranan orang yang bercakap, di mana dan dalam keadaan yang bagaimana, apa yang dipercakapkan, mengapa percakapan itu berlaku dan cara percakapan disampaikan .

Di mana pula merujuk kepada latar perbincangan yang diadakan. Perbezaannya dapat dlihat melalui penggunaan bahasa dan suasana. Mengapa pula merujuk kepada tujuan sesuatu pertuturan itu disampaikan, sama ada setakat memberi maklumat, ulasan atau menggerakkkan tindakan manakala bagaimana pula merujuk kepada cara atau saluran perbincangan yang diadakan seperti bersemuka, melalui telefon, kaca televisyen atau sebagainya.

Bagi Asmah Hj. Omar (2000), kesantunan bukan strategi semata-mata sebaliknya kesantunan merupakan ciri budaya yang menghendaki ahli masyarakatnya bersopan santun dan menghormati antara satu sama lain. Pembinaan tingkah laku yang santun dalam kalangan orang Melayu adalah menerusi proses didikan yang panjang dan berterusan. Ini menjadi ciri budaya orang Melayu. Oleh hal yang yang demikian Islam adalah tunjang pembinaan budaya orang Melayu.

Berdasarkan takrifan-takrifan tersebut dapatlah dibuat kesimpulan santun berbahasa bermaksud kesopanan dan kehalusan bahasa yang digunakan oleh seseorang ketika berkomunikasi. Bahasa yang digunakan mestilah digunakan penuh dengan adab, tertib dan bertatasusila supaya wujud suasana komunikasi yang harmoni tanpa sebarang pergeseran atau konflik.

Kesimpulannya berdasarkan perbincangan di atas kesantunan dalam pangilan berbahasa mementingkan budaya dan masyarakat akan menunjukkan strategi kesantunan sesebuah masyarakat dengan jelas yang berkaitan dengan strategi budaya dan nilai masing-masing. Pemahaman dalam strategi kesantunan dalam kalangan masyarakat yang berbeza akan mendorong dan mengharmonikan masyarakat sejagat yang bertanggung jawab.

Fungsi budaya kesantunan dalam sistem panggilan orang Melayu

Konsep kesantunan berbahasa bagi orang Melayu tidak dapat dipisahkan dengan nilai-nilai Islam kerana ajaran Islam telah menjadi suatu cara hidup yang merangkumi semua tatacara dalam kehidupan orang Melayu termasuklah berbahasa. Nilai-nilai Islam menjadi pengukur dan penentu terhadap kesantunan orang Melayu. Jelasnya, konsep kesantunan orang Melayu ialah perlakuan berbahasa dan bukan berbahasa yang dilakukan atas keikhlasan kerana Allah Taala. Jadi, konsep kesantunan orang Melayu melibatkan hubungan tiga penjuru iaitu melibatkan penjagaan hubungan antara manusia dengan Tuhan (hablun minallah) serta memberatkan hubungan antara manusia (penutur) dengan manusia (hablun min al-nas) iaitu pendengar.

Kesantunan berbahasa telah berdarah daging dan menjadi lambang jati diri bangsa Melayu sejak zaman berzaman. Pendek kata, orang Melayu sudah sekian lama disinonimkan dengan kesantunan dalam berbahasa dan perlakuan. Jadi demi kelangsungan jati diri bangsa Melayu yang unggul dan gemilang, semestinya setiap lapisan masyarakat terus menyemarakkan penggunaan bahasa yang santun dalam kehidupan seharian. Seperti yang kita semua maklum, nilai murni dalam budi bahasa memberikan kekuatan sosial dan moral serta membentuk budaya tinggi sesebuah masyarakat. Bangsa yang maju mengamalkan bahasa budaya tinggi yang dituturkan dengan cara yang halus, menarik, berkesan, bersopan santun, mempunyai nilai estetik, intelektual dan nilai budaya yang mencerminkan tamadun dan kesusilaan bangsa yang berperibadi tinggi.

Dalam konteks sistem panggilan dalam keluarga masyarakat Melayu, aspek kesantunan merupakan antara perkara yang mesti ada kerana masyarakat Melayu terkenal dengan budi bahasa yang sopan dan lemah lembut. Segala nasihat, teguran atau larangan sering kali tidak dilakukan secara langsung. Sebaliknya bahasa berlapik digunakan agar orang yang menjadi sasaran tidak tersinggung dan diaibkan di hadapan khalayak. Dalam pantun juga, unsur nasihat dan teguran telah diwujudkan, seperti pantun berikut:

Sebab pulut santan binasa,

Sebab mulut badan binasa.

Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga,

Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa.

Kalong Bunga Buku 1.

Sebenarnya, semua orang sedar dan tahu tentang peri pentingnya berbahasa dengan santun terutamanya dalam negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia ini, namun akhir-akhir ini faktor globalisasi yang melanda telah mengubah nilai dan pandangan hidup sehingga amalan berbudi bahasa ini semakin terhakis dalam masyarakat. Kita tidak boleh membenarkan bangsa kita hilang kesopanannya, termasuk dalam penggunaan bahasa. Setiap lapisan masyarakat perlu memastikan aspek penting dalam ketamadunan bangsa dan hubungan sesama manusia tidak terhakis semata-mata kerana kita mahu dilihat moden,maju dan canggih.

Jadi, amatlah wajar seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa menguasai segala santun dan peraturan dalam bahasa Melayu seperti gelaran kekeluargaan, gelaran pergaulan, kata-kata alu-aluan, dan kata silaan supaya budaya beradab dalam masyarakat dapat dikekalkan. Budi bahasa dan ketatasusilaan semasa kita berwacana atau berbahasa akan menjadi titik penentu lambang dan dan citra diri serta sahsiah kita yang sebenarnya. Oleh itu, kepentingan kesantunan dan ketatasusilaan semasa berkomunikasi bukanlah sesuatu yang harus dipandang remeh. Amalan dan penerapan budi bahasa sama ada dalam komunikasi, ucapan, pertuturan atau panggilan atau dalam perlakuan dan pergaulan dapat dipraktikkan dalam beberapa institusi, antaranya:

Antara ibu bapa dan anak-anak

Pada asasnya, ibu bapa atau keluarga merupakan orang pertama yang perlu menerapkan nilai berbudi bahasa sama ada secara formal atau tidak formal kepada anak-anak. Ibu bapa wajar mendidik, membimbing dan menegur anak-anak supaya bertutur dengan baik, betul, bersopan, terpuji dan saling menghormati. Hal ini demikian kerana, telah terbukti anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mengutamakan kesantunan dalam berbahasa biasanya akan menjadi individu yang bersopan serta berbudi bahasa. Begitulah peri pentingnya gelanggang yang kecil di rumah dalam membentuk keperibadian yang unggul.

Bagi memupuk rasa hormat menghormati kepada ibu bapa, kata panggilan “mak”, “mama”, “ayah”, dan “abah” digunakan. Namun begitu sejak akhir-akhir ini kata panggilan “ummi”, dan “abi” telah diambil dari bahasa Arab dan panggilan “mummy” dan “daddy” pula diambil daripada bahasa Inggeris dan kata panggilan tersebut telah diasimilasikan ke dalam masyarakat Melayu. Begitu juga rasa hormat kepada datuk atau nenek kata panggilan “atuk”. “nenek”, “tok ayah”, dan “tok wan” digunakan. Tutur kata anak-anak kepada ibu bapa hendaklah sopan, lembut dan penuh hormat dalam apa jua keadaan. Anak-anak tidak boleh sekali-kali beraku atau berengkau dengan ibu bapa atau memanggil dengan nama mereka. Tanggungjawab memastikan anak-anak menggunakan bahasa yang santun terpikul di atas bahu ibu bapa kerana ibu bapa merupakan orang yang paling rapat dengan anak-anak. Pemupukan, penghayatan dan penggunaan bahasa yang sopan dalam masyarakat hendaklah sentiasa ditekankan kerana amalan ini menggambarkan budaya Melayu yang tinggi.

Antara adik beradik

Hubungan adik beradik disusun oleh urutan kelahiran iaitu dari anak yang sulung kepada yang tengah dan yang bongsu. Yang muda mesti menghormati yang tua, adik mesti menghormati kakak dan abang dengan memanggil secara baik seperti yang biasa dalam masyarakat. Contoh gelaran seperti “abang long”, “kak long”, “abang ngah”, “kak ngah”, “abang cik” , “kak cik” dan “adik” untuk orang yang lebih muda. Setiap pertuturan, pergaulan dan kelakuan antara adik beradik perlulah sopan dan saling menghormati. Selain itu, apabila berinteraksi dengan orang yang lebih tua mestilah menggunakan nada suara yang lembut dan kelakuan yang sopan. Tidak digalakkan orang yang lebih muda berjenaka sesuka hati, memerli atau menyampuk percakapan orang tua walau dalam keadaan biasa. Namun begitu, masyarakat yang lebih muda tetap diberi peluang untuk memberi pandangan atau meluahkan perasaan tetapi tetap dalam keadaan sopan dan berhemah.

Bagi negeri Perak khususnya yang tinggal di tebing sungai Perak sistem panggilan dalam keluarga agak berlainan. Nama penggilan untuk anak bergantung kepada urutan kelahiran atau umur seperti berikut :

Nombor Anak

Lelaki

Perempuan

1

Kulop

Lop

Sulong (long)

Yong

Yop

Long

Kak Yong

2

Ngah

Ngah

3

Alang

Panjang

Alang, Yang

Anjang

4

Anjang

5

Pandak

Andak

6

Uda

Puteh

Uda

Puteh

7

Teh

Uteh

Teh

8

Itam

Busu

Itam

Chu

Akhir

Chu

Busu

Penggunaan kata ganti nama diri dan kata panggilan yang sesuai menyerlahkan lagi penutur dan pendengar di samping menimbulkan rasa hormat antara penutur dengan pendengar, tanpa mengira usia dan taraf sosial mereka. Penggunaan kata ganti nama diri dan panggilan yang sesuai seperti “tuk”, “pak cik”, “mak cik” “encik” dan “puan” menyerlahkan unsur budaya yang diterapkan dalam kalangan masyarakat Melayu. Begitu juga dengan penggunaan kata ganti nama panggilan dalam keluarga seperti “saya”, “kamu”, “dia” menunjukkan situasi umur dan taraf sosial dalam kalangan penuturnya, manakala “kau” dan “ aku” menunjukkan situasi yang tidak formal, bentuk keakraban dan taraf penuturnya.

Selain kata panggilan , penggunaan bahasa halus juga boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Penggunaan bahasa halus yang beradat, bertatasusila dan berbudaya tinggi dapat menyerlahkan darjah kesopanan dan keperihatinan masyarakat dalam mempamerkan akhlak yang tinggi. Penggunan bahasa halus turut didedahkan melalui penggunaan bahasa kiasan dan peribahasa untuk membolehkan seseorang menyatakan sesuatu secara halus dan secara tidak langsung. Sehubungan dengan hal itu, mustahak bagi kita untuk memahami bentuk santun dalam masyarakat Malaysia agar dapat berkomunikasi dan berinteraksi dengan menggunakan bahasa yang tepat dan lembut. Kata sapaan panggilan dalam keluarga seperti “hoi”, kata makian seperti “lahabau” amat tidak digalakkan.

Penggunaan Kata Ganti Nama

Kesantunan berbahasa dalam sistem panggilan dalam keluarga masyarakat Melayu boleh dimanipulasikan melalui beberapa bentuk dan penggunaan bahasa. Penggunaan kata ganti nama merupakan salah satu aspek penting dalam kesantunan berbahasa bahasa Melayu. Kata ganti nama merupakan antara bentuk bahasa yang digunakan oleh seseorang untuk memanggil orang yang mendengar atau diajak bercakap. Menurut Teo Kok Seong, masyarakat Melayu menganggap kata ganti nama “aku”, “awak”, “kamu” dan “engkau” sebagai bentuk kasar jika digunakan dalam percakapan atau interaksi dengan pihak yang lebih tua, berstatus dan berkuasa oleh pihak yang bercakap yang lebih muda, kurang berstatus dan kurang berkuasa. Walau bagaimanapun kempat-empat kata ganti nama berkenaan boleh digunakan secara sopan semasa bercakap atau berinteraksi, antaranya ahli keluarga mereka yang sudahpun akrab, atau situasi umur mereka setara.

Perlakuan Bahasa Bukan Verbal

Dalam interaksi keluarga dalam masyarakat Melayu, interaksi tidak selalu bergantung kepada pemilihan perkataan dan struktur ayat. Penekanan utama dalam konteks kesantunan berbahasa, dalam penggunaan bahasa yang sesuai dalam bahasa Melayu ialah cara perkataan atau frasa diucapkan dan sering kali disertai oleh gerak badan yang melibatkan air muka, isyarat tangan serta gaya dan kedudukan badan pihak yang bercakap. Anak-anak Melayu sentiasa diajar menggunakan tangan kanan untuk memegang makanan dan apabila memberi dan menerima sesuatu. Penggunaan tangan kiri hendaklah dielakkan. Memberi dan menerima sesuatu daripada seseorang dengan menggunakan tangan kiri ialah perbuatan yang tidak sopan dan tidak selari dengan ajaran Islam.

Jika seseorang itu terpaksa menuding kepada sesuatu semasa bercakap atau berinteraksi terutamanya dengan pihak yang lebih tua atau yang dihormati dengan tujuan untuk menunjukkan seseorang atau arah, jari telunjuk tidak boleh digunakan. Lebih sopan jika ibu jari kanan digunakan. Dalam masyaakat Melayu, menuding dengan jari telunjuk dalam situasi tertentu boleh dianggap sebagai perbuatan meninggikan diri, yakni dalam pengertian mengarah atau memerintah pihak yang mendengar. Aapabila seseorang itu harus lalu di hadapan pihak yang lebih tua, yang lebih tinggi tarafnya atau pihak yang lebih dihormati seseorang itu hendaklah meminta izin terlebih dahulu dengan melafazkan ungkapan “minta lalu” atau “tumpang lalu”. Ucapan meminta izin ini boleh digantikan dengan perlakuan bukan verbal, antaranya menundukkan kepala dan membongkokkan badan sedikit ketika lalu sambil meluruskan tangan kanan ke bawah. Perbuatan ini dianggap sopan dalam masyarakat Melayu.

Kesimpulan.

Kita semua berupaya untuk mempertingkat budi pekerti diri dalam keluarga bermula dengan kata panggilan dalam keluarga yang bermula dengan suara hati dan pertuturan. Allah s.w.t. dalam surah an-Nisa’ (ayat 148) berfirman, yang bermaksud “ Allah tidak suka akan perkataan-perkataan jahat yang keluar dari mulut seseorang melainkan perkataan (pengalaman) yang keluar dari mulut orang yang dizalimi. ( yang menyebut keburukan yang dilakukan ke atasnya dalam pengaduannya dan Allah maha mendengar lagi maha mengetahui” Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya “ sesungguhnya Allah menyukai sikap berlemah lembut dalam semua perkara”. Begitu dengan ajaran agama-agama lain yang turut menekankan kepentingan amalan berbudi bahasa dalam kehidupan seharian. Penggunaan aspek kesantunan ketika berkomunikasi akan memberikan beberapa implikasi. Antaranya menyerlahkan budaya kehidupan masyarakat Malaysia yang kaya dengan adab sopan serta halus. Selain itu melambangkan ketingian budi pekerti dan dipandang mulia dalam pergaulan hidup manusia. Bagi masyarakat Melayu “bahasa menunjukkan bangsa” dan bahasa itu tidak boleh dijual beli”. Selain itu penggunaan bahasa santun dalam panggilan dalam keluarga bertujuan untuk menunjukkan rasa hormat dan santun serta mengekakkan sebarang perlakuan yang boleh dianggap “kasar”.

Sebagai kesimpulannya dengan mengamalkan kesantunan berbahasa ketika berkomunikasi, kita akan digolongkan sebagai ahli masyarakat yang peramah, bertimbang rasa, berfikiran positif, mengamalkan sikap toleransi, bersopan santun, jujur dengan tetamu, bermoral dan baik hati. Ini secara tidak langsung kita akan mengekalkan peribadi yang mulia sekaligus menonjolkan peribadi bangsa yang lemah lembut dan tinggi peradaban. Penggunaan bahasa Melayu yang santun dikaitkan dengan tanggapan dan konsep ‘reti bahasa’. Kata pepatah Melayu, ``Yang tua dihormati, yang muda disayangi”

RUJUKAN

Asmah Hj. Omar.(2000). Wacana perbincangan, perbahasan dan perundingan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sarian.(2007). Bahasa sebagai jati diri bangsa: Isu, cabaran dan keupayaan pelastarian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Fishman. J. Ferguson & Das Gupta.(Ed. 1968). Language problem of developing nations. New York : John Wiley.

Kamus Dewan Edisi Baharu. (1984). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Leech, Geoffrey, N (1983). Principles of pragmatics. London : Longman.

Samuel P.Huntington, 1997, The Clash of Civilizations and The Remaking of World Order, London: Simon & Schuster.

Teo Kok Seong.(2003) . Kesantunan berbahasa kes bahasa Melayu. Dewan Bahasa Mac hal. 14-23. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zaaba. (1964). Kalong bunga buku 1. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

SELAMAT DATANG "DIRGAHAYU BAHASAKU"

"Kerusi" akhirnya mengundur diri bagi memberi laluan kepada pendatang baru antologi komsas tingkatan 5 mulai tahun 2011, berjudul "Dirgahayu Bahasaku". Sepertimana "Harga Remaja" yang jauh lebih tebal daripada "Anak Laut", begitulah juga "Dirgahayu Bahasaku" jauh lebih tebal daripada "Kerusi". Namun, murid tidak harus gusar, justeru bilangan karya yang dimuatkan masih sama, iaitu 25 buah semuanya.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh7e8qYrpAzMU51wlwS4my9fDj_uIk5CIyzzzF0LpsndlZKmwna2UXdg0mTt7k1dYeASJRtUL4zbgpq7Dd2zAn8xIJBGFiyRLrKTn-Yws1SGAZnFWc38zApUV6uGdWCrDil-PRepj21bhYw/s640/dirgahayu.JPG


"Dirgahayu Bahasaku" hanya menjadi setebal 350 muka surat kerana tiga naskhah drama pilihan bermula daripada halaman 189 hingga halaman 346, iaitu bersamaan 158 muka surat, tidak termasuk bahagian pengenalan. Bahkan, slot drama terakhir berjudul "Dato' Onn" karya Othman Haji Zainuddin sendirian sudah meliputi sejumlah 63 muka surat. Bahagian glosari yang memenuhi empat muka surat terakhir disediakan bagi membantu murid membuat rujukan pantas bagi istilah-istilah yang asing dan baharu kepada mereka.

Antologi "Dirgahayu Bahasaku" diangkat daripada judul sajak karya Ahmad Sarju yang menghiasi halaman 20 dan 21. Sajak lima rangkap itu ditulis pada bulan September tahun 2000 ketika isu bahasa kembali menjadi hangat akibat provokasi segelintir elitis yang mendewa-dewakan bahasa Inggeris. Sajak "Dirgahayu Bahasaku" kemudian dimasukkan dalam kumpulan puisi "Manuskrip Luka Bangsa" selenggaraan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

Rangkap pertama sajak mengungkapkan kedudukan bahasa Melayu yang dinisbahkan kepada singgahsana, iaitu tempat bersemayam raja-raja. Bahasa dikaitkan dengan hati nurani bangsa sebagai warga yang berbudi, setia dan amanah. Ketinggian bahasa digambarkan seperti berikut:

Tempatmu di singgahsana

hati nurani bangsaku

warga yang berbudi

setia dan amanah.

Rangkap kedua sajak memberi penegasan terhadap martabat bahasa sebagai maruah bangsa yang mesti dipelihara. Bahasa hendaklah dipastikan tetap kukuh dan ampuh sebagai wahana ilmu (lautan bijaksana) dan sendi perpaduan (salam ikatan mesra dan teguh). Penyajak menurunkan mesej berkenaan menerusi bait puisinya:

Bahasa itu maruah bangsa

yang mesti dipelihara martabatnya

agar tetap kukuh dan ampuh

melayari lautan bijaksana

salam ikatan mesra dan teguh.

Rangkap ketiga memberi fokus tentang peranan pejuang bahasa dalam mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai milik bangsa dan negara dalam mengharungi era globalisasi. Semangat cekal dan waja para pejuang bahasa akan memastikan bahawa hak bangsa bagi mempertahankan bahasa Melayu terjamin. Ujar penyajak:

Cekal dan waja semangat pejuangku

hak bangsaku memilikimu

hak bangsaku mendaulatkanmu

di bumi bertuah ini

merentas dunia tak bertepi.

Rangkap keempat merakamkan sejarah kegemilangan bahasa Melayu yang pernah megah sebagai bahasa perdagangan serantau (khususnya pada era empayar Melaka, penulis blog). Urusan diplomatik dan pelaut dilaksanakan tanpa masalah menerusi perantaraan bahasa Melayu. Penyajak menitipkan:

Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan

ke barat dan ke timur menjalin persaudaraan

gagah pelautku membelah lautan

ke utara dan ke selatan bahasaku mencengkam

dari pulau ke pulau menggilap mutiara silam.

Rangkap kelima dan terakhir merumuskan fungsi bahasa Melayu di arena antarabangsa bagi menempa kejayaan pada alaf baru. Bahasa Melayu sangat unik kerana lenggoknya yang menusuk kalbu (meresap di jiwa), mengungkapkan perasaan dan fikiran (bahasa minda), menjurus kepada persaudaraan dan sopan santun (mudah akrab dan bertatasusila). Bahasa Melayu dihadiahkan oleh bangsa Melayu untuk nusa Malaysia.

Dirgahayu bahasaku

di arena antarabangsa suaramu tumbuh

menusuk kalbu lagu bahasamu

bahasamu bahasa minda

mudah akrab dan bertatasusila

daripada bangsa yang bernama Melayu

menempa kejayaan di alaf baru.


Selain deklamasi sajak, pembelajaran komsas bahagian puisi boleh dihangatkan dengan aktiviti perbincangan, sumbang saran, forum dan sketsa. Muzik latar yang harmonis seperti ketukan piano Richard Clayderman, tiupan saksafon Kenny G dan pukulan gendang Kitaro boleh membangkitkan perasaan teruja dalam kalangan murid. Kemudian, murid boleh dibimbing membina item soalan aras petikan, kbkk dan komsas, serta cadangan jawapan yang mantap.

Contoh soalan:

a) Jelaskan maksud rangkap pertama sajak. (2 markah)

b) Apakah bukti-bukti kegemilangan bahasa Melayu seperti yang dinyatakan pada rangkap ketiga? (2 markah)

c) Berikan tiga cadangan bagi menyemai rasa cinta terhadap bahasa kebangsaan. (4 markah)

d) Nyatakan tiga persoalan yang terdapat dalam sajak tersebut. (4 markah)

< Catatan: soalan a), b) aras petikan; soalan c) aras kbkk; soalan d) aras komsas. Lazimnya, dalam kertas peperiksaan, hanya satu aras petikan akan ditanya, di samping aras kbkk dan aras komsas. Murid harus mengenal pasti aras soalan, tugasan soalan dan keperluan penulisan jawapan berdasaran peruntukan markah, tanpa sangkaan bahawa jawapan hendaklah ditulis panjang lebar macam karangan! >

Monday, January 23, 2012

KRITIKAN SOROTAN KARYA Penyelidikan Dialek Melayu Di Malaysia –Isu Perspektif

Azhat Mustapha

Sarjana Bahasa Melayu

KRITIKAN SOROTAN KARYA


Penyelidikan Dialek Melayu Di Malaysia –Isu Perspektif .

Oleh : James T. Collin

Antara kekuatan penulis ialah beliau berpendapat dalam kajian-kajian terdahulu mengenai dialek, terdapat penelitian yang tidak lengkap tentang kajian dialek Melayu. Ini kerana terdapat banyak andaian dalam kajian-kajian tersebut. Pengkaji terdahulu menitikberatkan grid sempadan negeri yang memisahkan negeri-negeri sempadan Kenyataan tersebut sesuai dengan pandangan Sulaiman Masri(2005) dalam sesuatu penyelidikan kajian terdahulu tidak perlu dipinggirkan. Kebanyakan pengkaji dialek terdahulu gagal untuk mengenalpasti dan mengetepikan premis yang tidak saintifik dan mengutamakan kategori etno-politik yang lapuk berbanding dengan perspektif geografi. Adalah diharapkan pada penyelidikan atau kajian lapangan pada masa hadapan lebik baik dijalankan berdasarkan kepada kawasan lembangan sungai dan jalur pesisir pantai yang harus menentukan pemilihan apabila mencari kawasan penyelidikan dan membentuk kaedah dalam kerja-kerja pengumpulan data.

Menurut Creswell J.W.(2009, dalam sesuatu penyelidikan mesti dibuat penilaian dan ini telah diterjemahkan oleh penyelidik. Dalam kajiannya, penyelidik mendapati terdapat unsur-unsur baru yang patut dimasukkan dalam penyelidikan khususnya mengenai dialek. Kekuatan penyelidik dapat dilihat penemuan baru dalam mengkaji dialek Melayu iaitu;

Lembangan Sungai yang saling berhubung kait, jelas menunjukkan dialek-dialek yang dituturkan di lembangan sungai ini banyak mempunyai persamaan dari segi inovasi. Dalam penemuan barunya yang berdasarkan dokumentasi arkelogi dan sejarah yang tertulis telah membuktikan kepentingan jalan air ini kepada manusia. Langkah menggunakan lembangan sungai sebagai titik tolak penyelidikan dialek masih sah tetapi kemungkinan mempunyai hubungan kompleks kerana beberapa kawasan legih di pedalaman yang memisahkan penduduk harus diambil kira.

Selain itu rantaian Maritim atau jalur sisir pantai hendaklah diambil kira. Ini kerana dalam kajian beliau mendapati keseluruhan kepulauan Melayu, termasuk Semenanjung Tanah Melayu, mempunyai rantaian masyarakat yang bertutur dalam satu dialek Melayu itu yang mendiami rangkaian perkampungan yang terletak bersebelahan antara satu sama lain. Sering kali rantaian itu terputus-putus kerana dipisahkan oleh kawasan yang tidak didiami di sepajang pantai atau menyeberangi laut. Walaupun begitu mereka dihubungkan oleh jalan maritim terutama semasa menjalankan aktiviti perdagangan. Terdapat juga kawasan-kawasan kecil di pantai dan pulau-pulau kecil membentuk satu kelompok dialek. Ini kerana jalur pantai, dan laut berfungsi sebagai jalan pengangkutan utama dan di sinilah berlakunya komunikasi .

Menurut penulis, dalam penyelidikan yang dijalankan dari 1982-1985 di Pulau Tioman dan Pulau Aur menunjukkan adanya dialek Melayu yang sebelum itu tidak diketahui, iaitu Dialek Melayu Pulau Tenggara. Dialek ini dituturkan sekurang-kurangnya ditiga buah pulau di Johor dan Pahang.

Satu lagi kekuatan penulis dalam kajian beliau ialah terdapat gabungan penduduk yang tingal di tepi sungai dan pesisir pantai dalam pembentukan dialek. Contohnya penutur di Sungai Langat, Selangor yang jelas mempunyai hubungan dengan dialek Melayu yang dituturkan di sepanjang Sungai Muar(dari Pancor ke Segamat). Ini kerana keberkesanan pengangkutan pesisir pantai yang wujud sebelum kedatangan kuasa barat di Tanah Melayu. Penyelidikan yang dijalankan di Nenasi, Pahang dari 1981-83 menunjukkan adanya gabungan ruang yang sangat kecil tetapi sangat rumit yang merupakan model pesisir pantai dan tepi sungai. Ciri gabungan inilah yang mewujudkan pelbagai ragam dialek Melayu.

Akhir sekali kekuatan dalam kajian beliau ialah masyarakat maritim yang terpisah telah beliau temui. Dalam penyelidikan beliau pada 1985, didapati bahawa dialek Melayu Kedah yang dituturkan juga dituturkan oleh dua buah masyarakat di pantai timur laut Sumatera di Indonesia. Dalam analisis data yang dibuat oleh beliau membuktikan bahawa bahasa Orang Laut di muara Sungai Bampu yang terletak di sebelah utara kota Medan, Sumatera adalah subdialek daripada dialek Melayu Kedah.

Antara kelemahan penyelidikan ialah penulis hanya menumpukan kepada empat aspek di atas. Sebenarnya ada faktor lain yang boleh mempengaruhi sesuatu sesuatu dialek iaitu persekitaran sosial seolah-olah diketepikan, pada hal aspek tersebut harus diteliti untuk menginterprestasi data dialek. Penulis juga mempunyai sedikit kelemahan kerana tidak mempunyai pengetahuan tentang sejarah petempatan Melayu tradisi dan kurangnya maklumat yang lebih mendalam tentang ragam bahasa Melayu yang dituturkan di kawasan-kawasan yang didiami itu seperti yang disarankan oleh Asmah Hj. Omar (2001).

Kesimpulannya penemuan baru penulis ini boleh dijadikan landasan baru kepada pengkaji yang berikutnya untuk mengkaji sebarang dialek khususnya di kepulauan Melayu. Sesungguhnya kajian sesuatu dialek tidak akan berakhir kerana penemuan-penemuan baru akan didapati jika kajian yang holistik dilakukan.

Dialek Terengganu: Satu Tinjauan Ringkas

0leh : Abdul Hamid Mahmood

Analisi Jurnal Dewan Bahasa dan Pustaka keluaran Mac 1990 muka surat 217-224 memaparkan kekuatan penulis yang mana beliau memaparkan faktur-faktur kewujudan dialek yang terdiri daripada pelbagai faktor. Antaranya ialah politik, ekonomi, penjajahan dan masa. Dalam kajian beliau terdapat keadaan alam semula jai seperti bukit bukau, gunung-ganang, hutan rimba dan sungai menjadi halangan kepada perhubungan penduduk. Selain itu faktur politik telah membahagikan negara ini kepada unit-unit politik yang lebih kecil yang menghasilkan negeri-negeri Melayu Semenanjung seperti Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu. Akibat daripada pembahagian tersebut wujudlah pelbagai dialek bagi setiap negeri. Penulis juga berpendapat pembahagian dialek yang berdasarkan sempadan politik itu kurang tepat kerana didapati penyebaran sesuatu dialek itu kerap melampaui sempadan kawasan politik tersebut. Ini sesuai dengan penyelidikan yang dilakukan oleh James T. Collin. Jelas, penyelidik telah membuat kajian terdahulu seperti yang telah disarankan oleh Asmah Hj Omar(2002).

Selain itu antara kekuatan lain kajian beliau ialah terdapatnya subdialek yang juga dipanggil ideolek-ideolek iaitu kelainan pengucapan yang disebarkan oleh individu. Sungguhpun terdapat kelainan, tetapi perkara tersebut tidak harus terkeluar daripada had saling kesefahaman kerana ia masih tergolong di dalam satu bahasa iaitu bahasa Melayu. Penulis berjaya menceritakan sedikit tentang latar belakang negeri Terengganu yang meliputi kedudukan geografi, kependudukan dan latar belakang sejarah.

Selain itu penulis bejaya meneliti dan mengkaji kajian yang telah dilakukan oleh Collins(1983) Asmah Hj. Omar (1983) dan Ismail Hussin(1973). Begitu juga dengan kajian yang telah dilakukan oleh pengkaji yang berasal dari negeri Terengganu, Mohd Ismail Abdul Rasheed(1985), Zaleha Awang (1988) dan Zuraidah Omar(1985). Kesemuanya telah membuat kajian secara formal dalam dialek Terengganu. Ini sesuai dengan pendekatan kualitatif yang memerlukan sorotan kajian dalam membuat sesuatu penyelidikan lapangan seperti yang dinyatakan oleh Cresswell(2009). Mereka turut bersetuju bahawa dari segi sebutan fonem dan perkataan terdapat perbezaan yang ketara di antara dialek tersebut dengan bahasa Melayu baku. Perbezaan inilah yang telah mempengaruhi pelajar akan dialek tersebut dalam penguasaan bahasa Melayu baku.

Penulis berjaya membandingkan kelainan yang terdapat dalam dialek Terengganu dengan bahasa Melayu baku, Antaranya alah;

a. Kelainan dalam bidang fonologi

b. Kelainan dalam bidang pengucapan

c. Kelainan fonem

d. Kelainan morfologi

e. Kelainan dalam ayat

f. Kelainan leksikal

Dapatan kajian beliau telah membuktikan bahawa dialek Terenganu mempunyai sesuatu yang unik jika dibandingkan dengan dialek-dialek lain yang terdapat di Malaysia.

Walaupun terdapat kekuatan namun jika ditinjau secara teliti terdapat juga sedikit kelemahan dalam kajian penulis. Penulis menggunakan kajian lapangan huluan yang sepatutnya penulis berada dan menetap lama di negeri Terengganu agar dapat menyelami dan mengasimilasikan sosio budaya penduduk Terengganu agar mendapat kajian yang lebih objektif. Ini dapat dilihat bagaimana Asmah Hj. Omar dan Collins yang menetap di sesutau tempat dalam masa yang panjang. Selain itu berdasarkan latar belakang penyelidik, penyelidik bukannya anak jati Terengganu, penulis merupakan anak jati Kelantan. Kebanyakan dapatan adalah berdasarkan kaedah pepustakaan dan melalui informan.

Penulis juga mengkaji dialek Trengganu secara umum dan membuat generalisasi, beliau tidak mengkaji dialek Terengganu di kawasan pengairan pantai dan kawasan pedalaman terutama di Kuala Berang yang mempunyai ideolek yang tersendiri. Ini sesuai dalam pendekatan kualitatif seperti yang disarankan oleh Creswell J.W.(2009).Dalam dapatan penyelidik, hasil laporannya berbentuk kualitatif kerana penilaiannya adalah mudah alih dan dihuraikan secara meluas berdasarkan data-data yang diterima. Dapatan yang diterima adalah berkaitan secara langsung dengan permasalahan penyelidikan. Akhirnya penyelidik juga telah membuat cadangan-cadangan yang berkaitan. Ini sesuai dengan pandangan Sulaiman Masri ( 2005), yang menyatakan cadangan yang releven perlu dinyatakan bagi mengatasi masalah yang berkaitan.

Sebagai kesimpulannya kajian penulis telah menjelaskan kepada kita bahawa dialek Terengganu mempunyai pelbagai kelainan seperti yang diperkatakan di atas. Ciri-ciri kelainan yang unik inilah merupakan gengguan-gangguan murid-murid negeri Terengganu menguasai bahasa Melayu baku dengan baik. Langkah-langkah yang sistematik perlu dilakukan untuk meningkatkan kemajuan pelajar-pelajar dalam penguasaan bahasa Melayu baku.

Dialek Melayu Sarawak dan Bahasa Melayu Baku satu perbandingan :

Oleh : Jais Sahok dan Pauzan Nuruddin

Analisi Jurnal Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan satu analisis yang mantap dan mempunyai kekuatan yang tersendiri. Antara kekuatannya, penulis telah memaparkan kajian yang jitu. Penulis telah membuat penelitian tentang kajian terdahulu oleh beberapa sarjana barat seperti Harrison T(1970), dan sarjana tempatan Buyong Adil (1981) Namun dapatan penulis tersebut agak mengelirukan. Ini dapat dibuktikan dengan dapatan yang diperoleh oleh Collins T(1987).

Menurut Creswell J.W.(2009). dalam menganalisis data yang diperoleh penerangan secara perbandingan hendaklah dilakukan. Dalam penyelidikannya, penulis mendapati terdapat persamaan antara dialek Sarawak dengan bahasa Melayu Baku tetapi dalam beberapa aspek yang lain terdapat berbezaan. Perbezaan inilah yang dianggap sebagai ciri-ciri dialek Melayu Sarawak. Kekuatan penulis dapat dilihat apabila penulis sendiri anak tempatan yang mengkaji sendiri dialek kamapungnya iaitu Kampung Lintang dan Kawasan Petra Jaya yang keseluruhannya beragama Islam yang berketurunan Melanau, Jawa dan Bugis

Hasil kajian beliau mendapati terdapat kelainan antara dialek Melayu Sarawak Kampung Lintang dengan bahasa Melayu Baku. Ini dapat dilihat melalui fonologi, morfologi, sintaksis dan leksikal. Berdasarkan contoh dan analisis yang kritis bersandarkan pendapat beberapa tokoh sarjana seperti Abdullah Hassan dan Asmah Hj. Omar membuktikan kekuatan penyelidikan beliau yang cermat dan teliti.

Antara kelemahan dalam kajian beliau ialah beliau hanya menumpukan dua kawasan utama iaitu Kampung Lintang dan Kampong Petra Jaya dan membuat generalisasi iaitu dialek Sarawak mempunyai persamaan dengan bahasa Melayu Baku. Ini kerana penulis telah menggunakan pendekatan kualitatif. Dalam pendekatan tersebut menurut Creswell J.W(2009), penyelidik bebas membuat ulasan dan seakan-akan berat sebelah dan ini merupakan satu kelemahan dengan menggunakan pendekatan ini.

Sepatutnya penulis menyelidiki seberapa banyak sample(dialek) yang mewakili populasi dialek Sarawak dan kemudian membuat generalisasi. Ini kerana di Sarawak terdapat pelbagai suku kaum yang terletak di kawasan pedalaman dengan dialeknya yang tersendiri. Menurut Sulaiman Masri( 2005), kerangka pemilihan sampel merupakan senarai yang mengandungi semua individu yang kesemuanya dijadikan populasi. Tegasnya, kerangka pemilihan sampel merupakan senarai lengkap bagi populasi. Satu sampel yang mengandungi sebilangan individu dalam kerangka persempelan yang dihasilkan menerusi kaedah tertentu. Sampel terserbut perlu mewakili dan memperlihatkan semua ciri populasi yang tepat melalui kriteria yang telah ditetapkan.

Kesimpulannya kajian yang begitu teliti ini telah menghasilkan penemuan baru dalam dialek Sarawak iaitu terdapat keseragaman yang banyak dengan bahasa Melayu baku, Ini sudah tentu memudahkan guru-guru bahasa yang mengajar di Sarawak terutamanya di kawasan bandar dalam mengajar bahasa Melayu.

Dialek Melayu Negeri Sembilan beberapa pandangan daripada sudut budaya. Oleh : Yeop Johari Hj. Yaakob.

Antara kekuatannya, penulis telah meneliti beberapa kajian terdahulu seperti kajian yang dilakukan oleh Asmah Hj. Omar(1975) dan Abdullah Hassan(1974) mengenai dialek Negeri Sembilan. Penyelidik telah menggunakan pendekatan kualitatif. Menurut Creswell J.W(2009) pendekatan ini berpusat kepada mengkaji dan memahami sesuatu permasalahan dan tidak memerlukan banyak sampel. Agak unik penulis mengkaji dialek dari perspektif laras bahasa adat yang sudahpun mantap. Laras adat dan budaya ini dapat dilihat dalam dua bidang iaitu dalam bidang pemikiran dan seni. Negeri Sembilan yang mempunyai pelbagai adat telah digunakan dalam dialek seperti

Padi tak berpagar lalang

Kerbau tak berkandang selendang

Kajian penulis yang mendalam telah mendapati laras bahasa adat amat pramatik dan dinamis telah diteruskan dan diwarisi oleh masyarakat Negeri Sembilan dari satu generasi ke satu generasi. Jika diselidiki dengan mendalam banyak bidalan, perbilangan adat telah dibukukan dan dijadikan bahan pengajaran di sekolah menengah. Bagi menguatkan penyelidikan, beliau beberapa contoh telah diberikan, antaranya;

Orang semenda bertempat semenda

Kalau kuat dibubuhkan di pangkalkayu

Kalau bingung di suruh arah

Menjemput yang jauh menghimpunkan yang dekat.

Antara kekuatan lain dalam penyelidikan beliau ialah dialek Negeri Sembilan didapati sejak akhir-akhir ini dialek ini kurang terpelihara sehingga terdapat pengaruh

asing dalam pelbagai aspek. Pada pendapat beliau pengaruh ini berlaku kerana pengaruh atau gangguan loghat bahasa Melayu yang lain, istimewanya bahasa baku di sekolah akibat daripada sistem pembelajaran.

Antara kelemahan penyelidik ialah tidak menyatakan sebarang lokasi tempat dialek itu diambil. Bagi mendapatkan kejituan penyelidikan nama tempat hendaklah dinyatakan. Penyelidik membuat kesimpulan secara umum. Ini mungkin memberikan satu laluan kepada penyelidikan pada masa akan datang bagi mendapatkan penemuan baru.

Selain itu penyelidik juga menggunakan pendekatan yang tidak serasi. Menurut Asmah Hj. Omar(2001) iaitu penggunaan secara serentak harus dihindari, contohnya pendekatan empiris dan rasionalistik secara serentak tidak dapat mempertingkatkan mutu kajian dan akan menimbulkan kekeliruan.

Sebagai kesimpulannya dialek Negeri Sembilan yang berkaitan dengan Adat Pepatih patut diterjemahkan dalam loghat Negeri Sembilan supaya ciri-ciri budaya dalam bahasa tersebut dapat diabadikan. Hal ini boleh dilakukan dengan ahli bahasa khususnya anak Negeri Sembilan. Mudah-mudahan kajian dan penemuan ini dapat menyedarkan kita tentang indah dan pentingnya loghat ini sehingga sekarang. Ini bukan sahaja boleh dimanfatkan untuk memajukan daya berfikir malah menarik golongan luar ke negeri ini.

Asimilasi Dialek Melayu Kelantan dan Dialek Thai Kelantan dalam bahasa Cina Peranakan Kelantan.: Oleh Teo Kok Seong.

Analisis Jurnal Dewan Bahasa dan Pustaka keluaran Mac 2005, telah memaparkan kekuatan penulis dalam membicarakan struktur bahasa Cina Peranakan Kelantan yang merupakan sebuah komuniti yang telah memperlihatkan tahap asimilasi yang tinggi terhadap bahasa dan budaya masyarakat Melayu Kelantan dan masyarakat Thai Kelantan. Penyelidik telah berjaya menghuraikan susur galur sejarah masyarakat Cina Kelantan dengan mantap dan disertai dengan contoh yang tepat. Ini telah menggambarkan satu kajiannya yang terperinci.

Antara kekuatan dapatan beliau ialah sifat campuran bahasa Cina-Melayu-Thai pada bahasa Hokkien Cina Peranakan Kelantan telah memperlihatkan asimilasi linguistik telah berlaku khususnya dari aspek kenahuan. Pengkaji juga berjaya membuktikan penyerapan kata-kata bahasa dialek Melayu Kelantan dan dialek Thai Kelantan. Pada pendapatnya penyerapan kata-kata ini hanya bersifat pinjaman leksikal semata-mata dan bukan releksifikasi.

Selain itu kekuatan lain yang terdapat dalam kajian beliau ialah binaan intraklausa dan interklausa pada bahasa Hokkien dengan Cina Peranakan Kelantan yang menyimpang daripada bahasa Hokkien Standard. Dapatan kajian beliau juga telah memperlihatkan persamaan yang wujud dalam dialek Melayu Kelantan atau dialek Thai Kelantan. Ini adalah kerana berlakunya kes asimilasi linguistik. Selain itu dalam penyelidikannya, beliau juga telah berjaya berada dalam kelompok masyarakat tersebut dan beliau sendiri telah diasimilasikan. Menurut Asmah Hj. Omar (2001) untuk mendapatkan penyelidikan yang tepat penyelidik mesti berada dalam sesuatu kelompok dalam masa yang agak lama. Ini dapat dilihat dalam kajian beliau dalam mengkaji dialek Iban di Sarawak yang mana belia bersama dengan masyarakat tersebut.

Antara kelemahan yang terdapat dalam penyelidikan ini ialah penyelidik tidak menyatakan apakah pendekatan atau teori yang mendasari kajian tersebut. Menurut Sabitha (2005) pula menyatakan teori ialah satu set pernyataan yang abstrak dan umum yang disokong oleh syor (atau hipotesis yang dibuktikan) dan teori menyatakan perkaitan atau keadaan secara spesifik. Kerlinger (1986) pula mendefinisikan teori sebagai suatu set konsep yang saling berkait dan dapat menjelaskan fenomena dengan mengenal pasti perkaitan antara pemboleh ubah (variabel) yang sesuai. Teori membantu para penyelidik mengkaji bidang ilmu secara sistematik dan teori juga membantu penyelidik memahami tingkah laku manusia.

Menurut pakar dalam bidang penyelidikan, teori yang dipandang ilmiah atau berguna untuk penyelidikan ilmiah perlu berupaya menilai data yang sesuai atau yang bertentangan dengannya. Jika sesuatu kajian tidak berdasarkan sesuatu teori kajiannya akan menyimpang jauh. Walau bagaimanapun penyelidik berjaya menemukan beberapa penemuan baru yang boleh dijadikan sebagai rujukan untuk kajian pada masa depan.

Kesimpulannya bolehkan dikatakan asimilasi dialek Kelantan bukan sahaja berlaku terhadap Cina Peranakan Kelantan bahkan meliputi kepada mereka yang tinggal lama di Kelantan akibat pergaulan dan interaksi sesama masyarakat. Semuanya ini merupakan sesuatu yang unik terhadap bahasa khususnya bahasa Melayu.

Fonologi Dialek Pahang, Satu Kajian Awal di Kampung Sentang.

Oleh : Asiah Jais

Antara kekuatan penulis, sebelum kajian ini dibuat ialah beliau telah meneliti kajian terdahulu yang telah dibuat oleh Wan Sulaiman Muhd Noor(1982) mengenai fonologi dialek Pahang di sekitar Padang Tengku Kuala Lipis. Ini sesuai dengan pendekatan kuantitatif seperti yang disarankan oleh Asmah Hj. Omar(2002) kajian terdahulu hendaklah diteliti. Beliau juga mendapati kajian dialek Pahang pada masa tersebut kurang mendapat perhatian. Pengkaji lebih berminat untuk mengkaji dialek Kelantan dan dialek Terengganu. Dalam kajian penyelidikannya, beliau telah bertemu sendiri dengan beberapa informan dan di situ berlakunya proses temu bual yang tidak berstruktur telah digunakan. Ini bermakna tidak ada apa-apa soalan soal selidik yang disediakan dan informan hanya diminta bercerita tentang sesuatu perkara atau tajuk. Pengkaji telah merakamkan perbualan dengan menggunakan pita rakaman. Melalui rakaman tersebut analisis tentang dialek telah dilakukan

Penyelidik juga berjaya memperincikan kampung., bilangan penduduk asal, dan taraf sosio ekonomi kawasan kajiannya. Ini penting kerana jika terdapat bilangan penduduk luar yang berpindah sudah tentu akan menghasilkan dialek yang berlainan dan kajian tidak akan tepat. Semasa membuat penyelidikan inilah beliau telah memperincikan tahap-tahap dalam membuat penyelidikan iaitu sebelum, semasa dan selepas. Penentuan strategi dalam penyelidikan ini dipersetujui oleh Syed Arabi Idid.(1993). Penyelidikan yang empirikal akan memilih strategi dan teknik yang sesuai dan betul dalam mengumpul data. Penyelidikan beliau yang mantap telah menghasilkan beberapa penemuan baru.

Antaranya ialah fonem dialek Pahang tidak banyak bezanya dengan fonem bahasa Melayu baku. Aspek yang paling ketara ialah perbezaan daripada bahasa baku ialah diftong. Dalam dialek Pahang terdapat diftong belakang tinggi kedua bibir /u/, diftong depan tinggi ke lelangit keras /i/, diftong separuh rendah belakang kedua bibir /o/ dan diftong separuh rendah belakang ke lelangit keras /oy/.

Sudah menjadi lumrah alam walaupun penyelidik mempunyai kekuatan dalam penyelidikannya namun terdapat sedikit kelemahan penyelidikan iaitu, penyelidik tidak menyatakan bilangan informan yang dijadikan sampel bagi mewakili populasi penduduk. Menurut Sulaiman Masri(2005), bilangan sampel yang besar akan melahirkan keesahan yang tinggi. Kenyataan ini bertepatan dengan pendapat Creswell J.W(2009) yang menyatakan sampel yang ramai boleh dijadikan alat untuk pengukuran bahan agar sesuatu kaji mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi.

Kesimpulannya kajian yang mantap dan jitu menjadikan kajian dan penyelidikan penulis sebagai satu kajian yang boleh dijadikan pegangan tentang dialek Pahang. Sudah sewajarnyalah penyelidik yang lain dapat memanfaatkan kajian ini sebagai tanda aras dalam penyelidikan berikutnya.



RUJUKAN

Abdullah Hassan.(1974).The morphology of Malay. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Hamid Mahmood.(1990).Dialek Terengganu, Satu tinjauan ringkas.Jurnal Bahasa 34(3) 217-224.

Asiah Jais.(1989).Fonologi dialek Pahang, satu kajian awal di Kampung Sentang Jurnal Bahasa 33(6) 416-431.

Asmah Hj. Omar.(1975).Essays on Malaysian linguistics.Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Asmah Hj. Omar.(1983). The Malay peoples of Malaysia and their language. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Asmah Hj. Omar.(2002).Kaedah penyelidikan bahasa di lapangan. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Buyong Adil.(1981). Sejarah Sarawak. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Collins James T.(1983). Dialek Ulu Terengganu. Selangor:Universiti Kebangsaan Malaysia

Collins James T.(1987).Dialek Melayu Sarawak. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka

Collins James T.(1993). Penyelidikan dialek Melayu. Isu perspektif. Jurnal Bahasa 37 (7) 580-600.

Creswell J.W.(2009). Research design qualitative, quantitative and mixed methods approaches(third ed). Lincons.: Sage publication, inc University of Nebraska.

Harrison T.(1970). The Malay of south west Sarawak before Malaysian, a socioecological survey . London: Mac Millan.

Ismail Hussin.(1973). Malay dialects in the Malay peninsular, dalam Nusantara 3(Januari) 245- 253

Jais Sahok & Pauzan Nuruddin.(1986). Dialek Melayu Sarawak dan bahasa Malayia Baku, Satu Perbandingan. Jurnal Bahasa 32(12), 860-872.

Kerlinger, F. N. (1986). Foundations of behavioral research. Fort Worth: Holt, Rinehart and Winston.

Sabitha Marican. (2005). Kaedah penyelidikan sains sosial. Petaling Jaya: Prentice Hall Pearson Malaysia Sdn.Bhd.

Sulaiman Masri. ( 2005). Kaedah penyelidikan dan panduan penulisan (esei.proposal,tesis) . Kuala Lumpur :Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd.

Syed Arabi Idid.(1993). Kaedah penyelidikan komunikasi dan sains sosial. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Teo Kok Seong.(2005). Asimilasi dialek Kelantan dan dailek Thai Kelantan dalam kalangan bahasa Cina peranakan di Kelantan. Jurnal Bahasa 25(6),

68-82.

Mohd Ismail Abdul Rasheed.(1985).Fonem dialek Terengganu daerah Dungun kerja kursus BB 327 UPM.

Mohd Noor Awang.(1985).Dialek Terengganu utara mempengaruhi penguasaan bahasa Melayu baku, kerja kursus BB327 UPM.

Wan Sulaiman Muhd Noor.(1982). Fonologi dialek Pahang, kajian di sekitar Padang Tengku, latihan ilmiah JPM FSKK UKM 1982/83.

Yeop Johari Hj. Yaakob.(1989). Dialek Melayu Negeri Sembilan beberapa pandangan daripada sudut budaya Jurnal Bahasa 33(1) 34-43

Zaleha Awang.(1988).Pengaruh dialek Terengganu Pantai ke atas, penguasaan baha Melayu standard, kerja kursus BB 327 UPM.

Zuraidah Omar.(1985).Perbandingan dialek Terengganu dengan bahasa Melayu dari sudut morfologi dan sintaksis kerja kursus BB 327 UPM.