Pengenalan
Bahasa Melayu Klasik bermula sejak abad ke-14 M hingga akhir abad ke- 18 M. Terdapat lima zaman perkembangan
bahasa Melayu. Ini membuktikan bahawa bahasa Melayu tersebar dan berkembang
secara bertahap - tahap iaitu zaman bahasa Melayu Purba, Melayu Kuno, Melayu
Klasik, Melayu Pramoden dan Melayu Moden. Secara ringkasnya, berdasarkan
pengklasifikasi zaman-zaman perkembangan, membuktikan bahawa bahasa Melayu Klasik
berkembang dan mempunyai sejarah penyebarannya yang tersendiri.
Batasan kajian
Batasan kajian ini selepas bahasa
Melayu Kuno yang bermula pada awal abad ke-14 sehingga akhir abad ke-18 Masihi.
Tarikh itu dipilih kerana prasasti di Kuala Berang Terengganu bertarikh pada
702 Hijrah bersamaan dengan 1303 Masihi, di Pagar Ruyung, Minangkabau ( 1356 M)
dan di Minye Tujuh, Acheh (1380 M). Prasasti ini sangat penting kerana ia
berlainan daripada prasasti-prasasti yang sebelumnya. Oleh sebab itu Tanah Melayu prasasti di Terengganu dijadikan sebagai pemisah antara bahasa Melayu kuno dengan bahasa
Melayu Klasik. Ini kerana prasasati
tersebut terdapat tulisan Jawi yang
tidak pernah dibuat oleh orang Melayu pada masa sebelumnya. Walaupun terdapat beberapa
prasasti yang menunjukkan wujudnya tulisan Arab yang digunakan oleh orang
Melayu pada masa sebelumnya, tetapi prasasti-prasasti itu tetap dalam bentuk
bahasa Arab asli. Tulisan dan bahasanya Arab jati, seperti prasasti Langgar, di
Kedah (290H), Pekan, Pahang (419H. ), Phan-rang, Vietnam (43 1H. ), Leran, Jawa
Timur(475H),dan Bandar Seri Begawan, Brunei(440H.). Dengan itu tulisan Jawi
tidak terbukti wujud pada abad ke-13 dan sebelumnya.
Prasasti di Terengganu mengandungi bentuk
bahasa yang berlainan daripada bahasa Melayu kuno. Bahasanya lebih mudah dan
mendekati bahasa Melayu zaman moden. Imbuhan-imbuhan yang dipakai lebih mirip
ke bahasa Melayu moden. Kata-kata pinjaman Arab sudah meresap ke dalamnya,
kata-kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit sudah agak berkurangan; ejaan
Jawinya lebih mirip kepada ejaan pengaruh Melayu. Bentuk-bentuk huruf Jawi yang
dipakai lebih mirip ke huruf Jawi yang dipakai sekarang. Gaya bahasa yang
digunakan sudah menyimpang daripada bahasa Melayu kuno.
Definisi Bahasa
Melayu Klasik
Takrifan
tentang Bahasa Melayu Klasik perlu dibuat terlebih dahulu sebelum kita memahaminya.
Merujuk kepada perkataan klasik, Kamus Dewan (1986),
mentakrifkannya sebagai kesenian atau kesusasteraan yang lama atau yang mempunyai sifat-sifat yang tidak lagi terpakai; yang tinggi dan abadi nilainya atau lawan bagi perkataan moden.Takrifan ini menjelaskan kepada kita bahawa bahasa Melayu Klasik diakui kepenggunaannya pada suatu masa dahulu. Namun, perubahan masa dan zaman menyebabkan bahasa ini tidak lagi menjadi wahana kepada para pengkaji sebagai bahan kajian dan penyelidikan tentang perkembangan dan pertumbuhannya.
mentakrifkannya sebagai kesenian atau kesusasteraan yang lama atau yang mempunyai sifat-sifat yang tidak lagi terpakai; yang tinggi dan abadi nilainya atau lawan bagi perkataan moden.Takrifan ini menjelaskan kepada kita bahawa bahasa Melayu Klasik diakui kepenggunaannya pada suatu masa dahulu. Namun, perubahan masa dan zaman menyebabkan bahasa ini tidak lagi menjadi wahana kepada para pengkaji sebagai bahan kajian dan penyelidikan tentang perkembangan dan pertumbuhannya.
Terdapat
beberapa definisi yang telah diutarakan oleh pengkaji bahasa. Antaranya ialah
Asmah Hj.Omar (1993), “ bahasa abad ketiga belas dan ketujuh belas itu
dinamakan bahasa Melayu Klasik”. Menurut Ismail Hussein (1966), “pembahagian bahasa Melayu
Klasik dibuat oleh adalah atas pertimbangan sejarah perkembangan bahasa Melayu.
Pembahagian ini dibuat mengikut zaman politik iaitu zaman Srivijaya, Majapahit,
Melaka, dan sebagainya. Contohnya pada zaman politik Srivijaya, masyarakatnya
yang beragama Hindu dan Buddha, menggunakan tulisan yang dibawa dari India,
sasteranya dipenuhi oleh cerita-cerita sastera India dan bahasa Melayunya
dengan pinjaman kata-kata Sanskrit.
Permulaan Zaman
Bahasa Melayu Klasik
Pada abad ke -13 pengaruh agama Islam menjadi
makin dominan di Nusantara. Perkembangan agama Islam membawa bersama-samanya
bahasa Arab. Zaman ini
memperlihatkan kemasukan perkataan Arab dan tulisan Jawi yang menggunakan
huruf-huruf Arab. Secara ringkasnya evolusi tahap kedua berlaku kepada bahasa Melayu
klasik. Bahasa Melayu klasik berkembang dengan pesat melalui peminjaman
perkataan Arab dan Parsi. Selain itu,
bahasa Melayu klasik juga mula
berkembang dengan bahasa-bahasa dari Barat seperti Portugis, Belanda, dan
Inggeris.
Menurut
Ismail Hussein (1966), bahasa Melayu Klasik bermula sekitar abad ke-13 dan
ke-14 dan beliau menyebutnya sebagai zaman peralihan apabila di seluruh
kepulauan Melayu setelah kedatangan agama Islam. Bukti konkrit tentang
bertapaknya Islam di Nusantara dari sudut sejarah diperoleh pada tahun 1292 M
sewaktu Marco Polo melawat Sumatera Utara dan catatannya tentang pengislaman
Pasai.
Pada zaman
peralihan dalam abad ke-13 dan ke-14 telah dijumpai beberapa prasasti dalam
bahasa Melayu yang ditulis menggunakan huruf India tetapi bahasanya sudah
terdapat pengaruh bahasa Arab. Di sini bermulanya bahasa Melayu Klasik. Selain
itu dalam masa yang sama bahasa Melayu Klasik boleh ditandai dengan kemunculan
dan keagungan kerajaan Melayu Melaka dan bahasa Melayu Klasik menjadi medium dalam pemerintahan,
perhubungan, perdagangan, dan penyebaran agama Islam.
Perkembangan
Bahasa Melayu Klasik
Kedatangan
pengaruh agama Islam dan bahasa Arab, telah menyebabkan bahasa Melayu melangkah
setapak lagi dengan satu lagi tulisan, iaitu tulisan Jawi. Bahasa Melayu Klasik
mula terpengaruh apabila kedatangan penjajah dari Barat seperti Portugis, Belanda
dan Inggeris. Sekali lagi bahasa Melayu bertembung dengan bahasa dan kebudayaan
yang baharu yang turut mempengaruhi bahasa Melayu klasik. Bahasa Melayu klasik
digunakan sebagai bahasa dalam
kesusasteraan, pemerintahan dan undang-undang, agama, sejarah, perdagangan, dan
perhubungan iaitu budaya dan kemasyarakatan.
Bahasa Melayu pada zaman klasik ini
memakan masa selama 500 tahun, iaitu dari 1300M. hingga 1800M. Dalam zaman ini
terdapat hasil-hasil karya tulis yang besar dan agung, melahirkan para penulis
dan ulama yang terkenal, wujudnya pusat-pusat kerajaan Melayu yang tersebar dari
Aceh di barat sampai ke Maluku di timur, dan Campa di utara hingga ke Banten,
di selatan.
Zaman
Kegemilangan Bahasa Melayu Klasik bermula pada sekitar zaman kerajaan
Melaka, Acheh dan zaman kerajaan Johor-Riau. Ketika zaman tersebut terdapat
beberapa orang tokoh penulis. Buktinya ialah pada zaman kerajaan Acheh. Antara
tokoh penulis yang penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani,
Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.
Ciri-Ciri
Bahasa Melayu Klasik
Bahasa Melayu
Klasik, mempunyai beberapa ciri-ciri bahasa.
Antara ciri tersebut ialah ayat yang panjang, berulang, dan berbelit-belit.
Ayat yang digunakan kebanyakannya ialah ayat pasif dan songsang. Selain itu dalam bahasa Melayu
Klasik terdapat penggunaan kata pangkal ayat yang agak klise atau usang.
Penggunaan kata pangkal ayat ini agak meluas. Contoh kata pangkal adalah
seperti "syahadan", "maka", "alkisah",
"hatta", "arakian", "kata sahibul hikayat",
"maka, tatkala" dan "adapun. Kata-kata
seperti itu bukan sahaja digunakan untuk memulakan sesuatu perenggan, malah
digunakan juga pada awal ayat-ayat dalam perenggan. Penulisan dalam bahasa
Melayu moden tidak memperlihatkan penggunaan kata pangkal ayat yang sedemikian. Terdapat juga gabungan beberapa ayat
tunggal yang dicantumkan dengan menggunakan kata-kata hubung yang tertentu,
terutamanya "dan" dan "atau" ataupun dengan menggunakan
tanda koma dan tanda koma bertitik sahaja. Contoh ayat bahasa Melayu Klasik
seperti ayat berikut “Maka
apabila dibawalah akan mereka itu ke penghadapan Tajul Muluk, demi terpandang
akan anak si peladang itu, mesralah ke dalam hatinya, diberinya wang yang tiada
berhisab banyaknya serta disuruh perbela akan dia baik-baik”. (Sejarah
Melayu)
Dalam
bahasa Melayu Klasik juga, terdapat perubahan dari aspek bentuk ayat yang
digunakan. Bentuk ayat yang lebih lumrah digunakan,
ialah bentuk ayat pasif, iaitu bentuk ayat yang lebih mengutamakan objek pelaku
atau subjek. Sebagai contoh, “Hatta datanglah kepada suatu hari maka Hamzah
dan Umar Umayyah dibawanya oleh
Khoja Abdul Mutalib kepada mualim ……” (Sejarah
Melayu)
Selain
itu, dalam bahasa Melayu Klasik juga banyak menggunakan partikel “pun”dan
“lah”. Contoh perkataan yang digandingkan dengan partikel ialah seperti
“adapun, bertitahlah, dan berebutlah”. Manakala contoh penggunaan partikel
dalam ayat pula ialah seperti berikut;
“ Maka Bendahara pun hairanlah kalam raja
seperti dikhatankan orang rupanya” (Sejarah
Melayu.)
Sehubungan
itu terdapat pengaruh daripada beberapa bahasa lain dalam bahasa Melayu Klasik
kerana di kepulauan Melayu ketika itu bahasa Arab dan Sanskrit bertapak kukuh
lantaran aktiviti perdagangan dan penyebaran agama Islam. Contoh penggunaan
bahasa Arab
ialah “Allah Taala, makhdum, mualim daulat, wallahualam, takzim. Bagi
bahasa Sanskrit pula ialah “dosa,pahala,dan raja” . Bahasa Melayu Klasik
juga menerima fonem Arab seperti ‘kh’, ‘dz’, dan ‘sy’. Contoh perkataan seperti
“khamis, zakat, syarat”.
Bahasa Melayu Klasik juga lebih
banyak menggunakan kiasan dan perbandingan serta penggunaan laras bahasa puisi,
seperti pantun, syair, seloka dan gurindam dalam karya prosa. Buktinya ialah
terdapat banyak dalam hikayat-hikayat Melayu lama. Mungkin disebabkan oleh
sifat sastera Melayu klasik itu sendiri, yang pada asalnya dalam bentuk lisan
dan penggunaan unsur-unsur tersebut dikatakan dapat menghidupkan suasana
penceritaan.
Ketika itu juga banyak menggunakan laras bahasa istana.
Ringkasnya
kosa kata daripada bahasa Arab banyak digunakan. Penggunaan bahasa Melayu dapat
dilihat dalam beberapa buah karya seperti Hikayat Raja-raja Pasai, Misa Melayu,
Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Negeri Johor dan banyak lagi karya
yang ditulis dalam tulisan Jawi
Faktor-Faktor
Perkembangan Bahasa Melayu Klasik
Perdagangan
Terdapat
juga teori yang menyatakan bahawa berlakunya perkembangan bahasa Melayu klasik adalah melalui aktiviti perdagangan. Buktinya pedagang dari India belayar ke timur menuju
China dan pedagang China pula belayar ke barat menuju India. Pelayaran dua hala
ini mengharuskan mereka melalui Selat Melaka. Lama-kelamaan pelabuhan yang ada
di Kepulauan Melayu ini bukan sahaja sebagai tempat persinggahan tetapi menjadi
tempat perdagangan pedagang India dan China seperti yang telah dirintis lebih
awal oleh pedagang Arab.
Pedagang-pedagang Islam berketurunan Arab menerapkan sistem tulisan Arab dalam tulisan Jawi. Tujuan utamanya ialah memudahkan bacaan, kerana tulisan jawi merupakan sesuatu yang baru bagi masyarakat Melayu. Bagi memudahkan ejaan, tanda baris atas dan bawah dimansuhkan. Bahasa Melayu Klasik dikatakan banyak menerima fonem-fonem Arab. Contohnya 'kh', 'z' dan 'sy'. Penggunaan fonem-fonem ini begitu meluas terutama sekali dalam penghasilan karya sastera seperti kitab-kitab agama, cerita-cerita rakyat dan lain-lain lagi. Selain itu bahasa Melayu Klasik juga telah menyerapkan perkataan-perkataan Arab dalam bahasa Melayu. Keadaan ini menyebabkan kata-kata atau perbendaharan Melayu semakin bertambah. Pinjaman dari perkataan Arab juga disebabkan kurangnya perkataan Melayu dalam menterjemahkan sesuatu perkara. Antara contoh perkataan yang dipinjam dari perkataan Arab ialah duniawi, muktabar, fakir, sultan Jumaat akhirat dan lain-lain lagi.
Pada
era kedatangan orang-orang Barat iaitu
Portugis, Sepanyol, Belanda, dan Inggeris berlakulah perkembangan dalam bahasa
Melayu Klasik ini dapat dilihat melalui kosa kata yang digunakan. Mereka telah
membawa budaya dan tamadun mereka untuk diperkenalkannya di Alam Melayu selain
untuk menjajah dan menguasai pusat-pusat perdagangan terutama perdagangan
rempah. Beberapa negeri penting telah dikuasai mereka seperti Melaka oleh
Portugis. Kedatanagan
kuasa barat ini telah mengubah bahasa Melayu Klasik. Beberapa contoh perkataan Portugis
yang diserap dalam bahasa Melayu Klasik adalah armario (almari), garfo (garpu),
Igreja (gereja) dan lain-lain lagi.
Penyebaran agama
Para mubaligh terutama mubaligh India turut
datang ke Kepulauan Melayu ini untuk menyebarkan agama Hindu. Kedatangan para
pedagang dan penyebar agama ini mengakibatkan bahasa Melayu Klasik mendapat
pengaruh baharu. Kedatangan agama Islam yang dibawa oleh pedagang-pedagang Arab
dan menyebarkan agama tersebut dengan menggunakan bahasa Melayu Klasik. Penghasilan kitab-kitab agama. Antara kitab
yang dihasilkan ialah Furu’ Al-Masa’il oleh Syed Muhammad Daud Al-Fatani,dan
Sabil Al-Muhtadin oleh Syed Muhammad Arsyad Al-Banjari. Kandungan kitab-kitab
ini adalah mengenai agama seperti al- Hadith, feqah, tafsir al-Quran, tasawuf,
di samping sejarah, hikayat, hal ehwal haiwan, perdukunan, perubatan Melayu,
bintang dua belas, pentadbiran dan pemerintahan, falsafah dan pengembaraan.
Terdapat istilah dan kosa kata daripada bahasa Arab digunakan ke dalam bahasa
Melayu Klasik contohnya di Batu Bersurat di Kuala Berang Terenganu yang
menggunakan huruf jawi.
Dalam zaman ini juga lahir para
ulama yang terkenal. Antara para ulama
yang lahir dalam zaman ini ialah Hamzah Fansuri, Abdul Rauf al.-Fansuri
(Singkel); Syamsuddin al-Samatra’I (Pasai); Nurudin al-Raniri di Aceh; Tun Seri
Lanang dan Bukhari al-Jauhari (Johor); Daud Abdullah al-Fataui; Abdul Samad al-Falimbani;
Muhammad Arsyad al-Banjari; Syeikh Yusuf al-Maqasari dan lain-lain lagi.
Menurut Raminah Hj Sabran (1984), dalam zaman ini jugalah para alim ulamak
bergiat memperkenalkan buku-buku yang bercorak Islam dan menterjemahkannya ke
dalam bahasa Melayu Klasik. Antara kitab yang terkenal ialah Darul Mazlum.
Tokoh ulamak pula ialah Syeikh Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar, kadi Yusuf dan
lain-lain lagi.
Perkembangan Kesusasteraan
Perkembangan bahasa Melayu Klasik
mempunyai perkaitan dengan perkembangan karya sastera. Perkembangan
kesusasteraan memberikan gambaran tentang sejarah silam sesuatu bangsa dari
segi kebudayaan dan keperibadian bangsa . Dalam masa yang sama bahasa Melayu
Klasik digunakan oleh pengarang untuk tujuan menghasilkan sesebuah karya dalam
bidang kesusasteraan, ketatanegaraan, kebudayaan, kemasyarakatan dan keagamaan.
Semua hasil kesusasteraan dinukilkan dengan menggunakan bahasa Melayu Klasik. Seiring
dengan kemunculan bahasa Melayu Klasik, pengaruh Hindu dilihat mula hilang
sedikit demi sedikit sehinggalah ke abad ke-15 apabila kedatangan agama Islam.
Antara hasil-hasil karya tulis yang
terkarang dalam zaman ini ialah Sulalatus-Salatin (Sejarah Melayu), Hukum Kanan
Melaka, Undang-undang Laut Melaka, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad All
Hanafiah, Hikayat Hang Tuah, Adat Raja-raja Melayu, Syair Burung Pungguk, Syair
Burung Pingai, Syair Dagang, Syair Perahu, Syarab Asyikin, Syarab Ruba’i
Hamzah Fansuri, Tanbih al-Tullab, Sirat al-Mustaqim, Bustan al-Salatin, Ta]
al-Salatin, Terjemah Tafsir atBaydawi, Syifa’ al-Qulub, Jawahir al-Ulum,
Lata’if al-Asrar, Kfayat al-Muhtajin, Mir’at al-Tullab, Hujjat al-Balighah,
Bidayat al-Hidayat, Hidayat alSalikin, Siyar al-SalikiR Sabil al-Muhtadin,
Furu’ al-Masa’il, Safinat a?Najah, Fat al-Rahman dan beratus-ratus tulisan
lagi yang ditulis sama ada di Aceh, Patani, Palembang, Banjar, Makasar, Banten,
Pontianak, Berunai, Jawa, Minangkau, mahu pun di Makkah dan Madinah.
Peranan Istana
Bahasa Melayu klasik lebih bersifat
"bahasa istana". Ini amat ketara dari segi penggunaan perkataan dan
sistem panggilannya. Contohnya ialah sembah, beta, titah, berangkat, gering
dan lain-lain lagi. Penggunaan ini adalah disebabkan kebanyakan hasil
penulisan bahasa Melayu Klasik adalah dalam bentuk karya sastera, yang
menceritakan kisah dan peristiwa yang dialami oleh kalangan raja di istana. Dalam
Sejarah Melayu ada menyatakan:
“ Bahawa beta minta perbuat
hikayat pada Bendahara, peri peristiwa dan peraturan segala raja-raja Melayu
dengan istiadatnya sekali, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang
kemudiannya daripada kita, diingatnya oleh mereka itu, syahdan beroleh
faedahlah ia daripadanya…”
Kesimpulan
Berdasarkan huraian di atas jelaslah bahawa bahasa Melayu
Klasik mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan bahasa ini telah mendapat
perhatian utama sarjana-sarjana Eropah dalam usaha untuk menyusun kamus dan
daftar kata. Usaha ini merupakan usaha yang tertua dalam bidang penyelidikan
terhadap bahasa dan dikembangkan dalam bidng-bidang lain seperti morfologi,
sintaksis dan fanologi. Kedudukan bahasa Melayu semakin unggul semasa zaman
Kerajaan Melayu Melaka. Pada zaman inilah pelbagai kosa kata telah diambil
khususnya dari barat seperti Arab, Portugis, Belanda dan Inggeris untuk
diasimilasikan dengan situasi tempatan.
Ini secara tidak langsung telah menambah kosa kata termasuk juga
hasil-hasil kesusasteraan Melayu. Selain itu bahasa Melayu Klasik juga
digunakan sebagai “linguafranca”,
juga sebagai bahasa kesusasteraan, kebudayaan, bahasa rasmi di istana dan
bahasa untuk menyebarkan agama Islam.
Tegasnya bahasa Melayu Klasik pada masa itu berperanan sebagai bahasa
“intelektual”
Bibliografi
Asmah Hj.Omar. (1993). Susur galur bahasa Melayu. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Ismail Hussein. (1966). Sejarah pertumbuhan bahasa
kebangsaan kita. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka
Kamus
Dewan. (1986). Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nik
Safiah Karim, Faris M Onn, Hashim Hj. Musa, Abdul Hamid Mahmood. (2006). Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Raminah Hj Sabran. (1984). Kajian bahasa
untuk pelatih maktab perguruan.
Petaling Jaya Selangor : Fajar Bakti.
W.G
Shellabear.(1981). Sejarah Melayu. Petaling Jaya Selangor : Fajar Bakti.
http://edubahasabyayda.blogspot.com/2009/09/sejarah-perkembangan-bahasa-melayu.html
No comments:
Post a Comment