Friday, January 27, 2012

SIMBOL BINATANG DALAM PANTUN MELAYU

Analisis Simbolisme Binatang dalam pantun Melayu

Pengenalan

Simbol berasal daripada kata Greek, sumbolon yang akar katanya ialah sumballein bermaksud “ to agree, literally, cast together.”(Scott, 1974, hal. 283). Kata simbol yang dipakai dalam bahasa Melayu adalah pinjaman daripada kata Inggeris, symbol, yang berasal daripada bahasa Greek, sumbolon. Simbol mempunyai peranan yang luas dalam kehidupan manusia. Dalam karya sastera simbol berperanan untuk menyampaikan maksud dan pemikiran pengarang tentang kehidupan manusia.

Menurut Shahnon Ahmad (1975,hal. 8) simbol merupakan unsur bahasa kerana melalui simbol manusia dapat berkomunikasi secara efektif bagi masud tertentu . Perbincangan dalam penulisan ini tentang simbol binatang dalam pantun Melayu yang banyak terdapat dalam masyarakat Melayu. Hal ini disebabkan alam binatang lebih dekat dengan kehidupan orang Melayu dahulu. Mereka dikelilingi oleh pelbagai binatang seperti tupai, ayam, kerbau dan sebagainya mana kala unggas seperti burung merpati, semut, nyamuk dan sebagainya mana kala hidupan di air seperti buaya, ikan, lintah, belut dan sebagainya. Pencipta alam (Allah) telah menjadikan binatang dalam alam ini bagi mengindahkannya. Hal ini dapat dibuktikan dari firman-Nya yang bermaksud:

Dan susungguhnya kami telah jadikan binatang-binatang dan kami hiasi

langit itu bagi orang yang melihatnya

(al-Jirj :161)

Saya merasakan bahawa pengunaan simbol binatang dalam sastera khususnya pantun Melayu mengindahkan lagi pantun itu terutamanya rima atau maksud pantun tersebut disamping menyindir mengkritik atau memuji seseorang. Misalnya dalam pantun berikut :

Pantun burung

Pulau Sebang kampung terkurung,

Tua muda orang berladang;

Kalau abang seperti burung,

Sekarang juga terbang datang.

(Bunga Kalong, hal. 112)

Sarung kebaya kain imbangan,

Tenun berlapis pakan di tepi;

Burung saya burung kayangan,

Minum bertapis makan bertampi.

(Bunga Kalong, hal. 138)

Sarawak sungainya sempit,

Sungguh sempit bercabang lima;

Tuan merak saya nan pipit,

Manakah boleh terbang bersama.

(Bunga Kalong, hal. 138)

Masyarakat Melayu pada zaman dahulu melihat dan menganggap burung yang berbadan kecil itu mempunyai pangkat yang rendah dan dianggap hina mana kala burung yang besar dan cantik mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia. Ini dapat dilihat melalui burung merak yang mempunyai paras rupa yang cantik jika dibandingkan dengan burung pipit. Begitu juga jika burung itu terbang diawangan dianggap tinggi darjatnya seperti .burung cenderawsih

Berdasarkan ketiga-tiga pantun di atas menunjukkan bahawa orang yang rendah darjatnya sanggup mengikut arahan dan tidak boleh bersama-sama dengan mereka yang berkedudukan tinggi. Begitu juga bagi golongan berkedudukan yang mempunyai banyak kemewahan dianggap mulia di sisi masyarakat. Begitu juga masyarakat Melayu yang sensitif akan peri hal alam sekitar menggunakan simbol burung dalam peribahasa Melayu seperti enggang sama enggang, pipit sama pipit, jinak-jinak merpati, merpati makan di telapak tangan. Begitu juga dengan burung dijadikan lirik lagu merpati dua sejoli, terbang dua sekawan, nyanyian Hail Amir dan Uji Rasyhid

Buaya

Udang galah satali lima,

Kuala Perak tidak berpantai;

Orang hadiah saya terima,

Buaya tidak menolak bangkai.

(Bunga Kalong, hal. 135)

Orang berkedai berjual beli,

Bahasa jangan melutu-lutu:

Kalau panda menjaga diri,

Buaya pun segan buat tak tentu.

(Bunga Kalong, hal. 135)

Pantun di atas mengingatkan bahawa buaya adalah simbol binatang buas, ganas dan sangat berbahaya. Binatang ini melambangkan kejahatan. Jika dilihat habitat binatang ini seolah-olah binatang pendiam dan baik Masyarakat memandang bahawa manusia yang bersifat demikian haruslah dijauhi.dan berhati-hati kerana pandai berpura-pura dan mengambil kesempatan akan kelemahan orang lain. Bagi golongan wanita harus berwaspada akan lelaki bersifat demikian. Jadi tidaklah menghairankan terdapat peribahasa yang berbunyi masakan buaya menolak bangkai, mulut buaya, buaya darat , buaya tembaga dan lain-lain lagi.

Ayam

Kalau tuan memintal ijok,

Tali dipegang dipial-pialkan;

Malangnya ayam tidak berinduk,

Menampi orang barulah makan.

(Bunga Kalong, hal. 79)

Masyarakat Melayu pada zaman dahulu ayam merupakan binatang peliharaan kerana binatang ini tidak perlu penjagaan yang rapi. Melihat kepada gelagat anak ayam yang terlalu rapat dengan ibu maka dijadikan panduan sebagai nasihat. Hal ini demikian kerana tidak mahu masyarakat Melayu tersinggung akan kata-kata yang menyakitkan hati. Dengan kiasan ini diharapkan agar dapat mengubah tingkah laku masyarakat.. Ayam dianggap sebagai golongan rakyat biasa. Jika kita melihat gelagat ibu ayam yang akan memanggil semua anaknya jika terjumpa makanan .Ini menunjukkan bahawa hubungan ibu dan anak ayam yang begitu akrab. Itulah ada peribahasa Melayu yang menyatakan masyarakat Melayu dalam kehidupan mengikut resmi ayam iaitu mencari rezeki bergantung kepada ibu bapa mana kala orang Cina mengikut resmi itik yang bermaksud mencari rezeki masing-masing apabila sudah dewasa

Berdasarkan pantun tersebut memperlihatkan anak-anak ayam yang tidak beribu hidupnya tidak keharuan. Selepas kematian ibu, anak ayam hanya berharap akan belas ihsan orang yang menampi padi. Ayam ini dikiaskan dengan manusia akan kehilangan arah atau tujuan jika pemimpin tiada. Bagi sesebuah keluarga anak-anak akan tidak kehauan jika ibu mereka tiada dan mengharap akan belas ikhsan dari masyarakat.

Semut

Anak Cina mudik ke Linggi,

Patah Kemudi tidaklah sampai;

Tuan bunga di pokok tinggi,

Semut di bumi bila tercapai.

(Bunga Kalong, hal. 100)

Masyarakat pada zaman dahulu menggunakan simbol semut sebagai orang yang rajin bekerja. Selain itu digambarkan juga sebagai manusia kecil yang tidak mempunyai keupayaan tinggi kerana keadaan fizikalnya. Dalam pantun di atas menggambarkan bagaimana golongan bawahan yang tidak akan dapat bersaing dengan golongan berkedudukan. Begitu juga simbol semut digunakan dalam peribahasa Melayu iaitu bagai semut menghimpun melukut, rajin seperti semut, mati semut kerana gula dan sebagainya.

Tupai

Satu, dua, tiga dan empat,

Lima, enam. tujuh setengah;

Sepandai-pandai tupai melompat,

Sekali sekala jatuh ke tanah.

(Bunga Kalong, hal. 136)

Tupai merupakan binatang yang suka melakukan kerosakkan terutama tanaman dan buah-buahan. Binatang ini sangat lincah dalam tindakan ketika berada di atas pokok.Walaupun tangkas, sesekali akan jatuh ke tanah kerana kealpaan.Gelagat dan tingkah laku binatang ini dilihat oleh masyarakat pada zaman dahulu dan dijadikan simbol bagi mengkritik atau menyindir masyarakat yang selalu melakukan kejahatan akhirnya akan tertangkap juga. Begitu juga masyarakat menggunakan tupai dalam simpulan bahasa seperti kelapa ditebuk tupai.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan ringkas di atas kita dapati bahawa alam binatang menjadkan sumber idea, ilham dan pemikiran yang dilenturkan dalam masyarakat Melayu. Simbol binatang yang digunakan didapati dekat dengan kehidupan penyair dan dijadikan makna tersembunyi dan terserahlah kepada kita untuk mentafsir unsur tersurat dan tersirat. Dalam bangsa Melayu simbol itu meliputi perbandingan, kiasan, ibarat, peribahasa dan citra. Penggunaan simbol dapat dikesan dalam keseluruhan budaya manusia, misalnya sastera, seni, tarian, falsafah dan antropologi. Simbol-simbol itu pula dikaitkan secara intim dengan pemikiran manusia yang melahirkannya.

Bibliografi

Mohamad Azmi Ab. Rahman.(2004). Kesusasteraan Melayu dimensi bahasa dan pemikira: Kedah: Universiti Utara Malaysia. Sintok.

Scott, A.F. (1974): Current Literary Terms: A Concise Dictionary of Their Origin and Us. : London:The MacMillan Press Ltd

Shahnon Ahmad. (1975). Kekaburan puisi A.S. Amin. Tesis Ijazah Sarjana .Universiti Sains Malaysia : Pulau Pinang:

Zaaba. (1964). Kalong Bunga buku 1. Kuala Lumpur :Dewan Bahasa dan Pustaka

KESANTUNAN BERBAHASA

Kesantunan budaya Melayu dalam sistem panggilan

Menurut Kamus Dewan (1984) hal. 1126 sistem, bermaksud kaedah atau cara untuk melakukan / menyebut sesuatu, manakala penggilan hal. 901 bermaksud menyuruh datang dengan menyebut nama. Kesimpulannya sistem panggilan bermaksud cara atau kaedah untuk memanggil seseorang untuk datang atau bertegur.

Takrifan Kesantunan

Berbicara tentang santun dalam berbahasa, rasanya amatlah wajar untuk kita selusuri takrifan kesantunan itu sedalam-dalamnya. Menurut Kamus Dewan (1984), hal. 1115 santun bermaksud halus budi bahasa atau budi pekerti, beradab atau sopan. Awang Sariyan(2007) memberi definisi kesantunan sebagai penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicara. Menurut Asmah Haji Omar (2000), kesantunan mengikut perspektif Melayu ialah penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pendengar.

Santun dalam berbahasa bukan sahaja mendapat perhatian para pakar bahasa tempatan malah turut dikaji oleh para pengkaji bahasa dari barat. Leech (1983), menginterpretasikan kesantunan sebagai perlakuan yang dapat mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. Fishman J. Ferguson dan Das Gupta (1968), pula menyatakan kesantunan itu berlaku apabila kontrak perbualan digunakan oleh penutur dan pendengar sebagai usaha mengekalkan komunikasi yang harmoni tanpa menimbulkan sebarang konflik.

Grice telah mendefinisikan kesantunan merujuk kepada komunikasi secara santun dan hendaklah memperlihatkan prinsip kerjasama dan prinsip kesantunan Beliau telah membahagikan kesantunan kepada empat maksim iaitu:

i. maksim kuantiti

ii. maksim kualiti

iii. maksim pertalian (hubungan)

iv. maksim cara

Maksim kuantiti merujuk kepada apabila seseorang bercakap atau berkomunikasi haruslah didukung dengan fakta atau data yang lengkap agar terhindar daripada yang tidak benar atau lemah sebaliknya hendaklah membuat pernyataan yang betul dan tepat agar maklumat yang diberikan itu diterima pendengar dengan hati terbuka. Jika pendengar berminat untuk mendapatkan maklumat tambahan hendaklah disampaikan melalui pernyatan yang lebih kuat atau hujah-hujah yang kukuh. Selain itu penutur hendaklah diminta memberikan penjelasan akan sesuatu yang diperkatakan agar pendengar dapat menerima dengan hati terbuka tetapi jika tidak dapat memberikan sesuatu penjelasan atau memberikan sebahagian sahaja alasan akan dianggap biadap dan melanggar prinsip kesantunan.

Maksim kualiti pula bermaksud penutur tidak membicarakan hal yang benar sebaliknya mengatakan hal yang palsu atau tidak mempunyai bukti yang cukup kuat. Dalam konteks ini penutur akan memendamkan maklumat oleh sebab tidak ada pengetahuan yang cukup bagi meyakinkan pendengar.

Maksim pertalian pula bermaksud ketika berkomunikasi haruslah releven atau berkaitan dengan apa yang diucapkan. Penutur hendaklah bercakap dengan yang releven dan tidak menyimpang dengan tajuk yang diberikan. Penutur tidak oleh membuat sebarang andaian yang mengelirukan pendengar agar mematuhi prinsip kerjasama dan semasa memberikan maklumat ketika berkomunikasi hendaklah beradab dan tidak mengikut perasaan.

Maksim cara pula merujuk kepada cara seseorang itu berkomunikasi. Jika penyampaiannya menyingung perasan orang lain,dengan menggunakan bahasa kasar maka tujuan berkomunikasi secara santun tidak tercapai. Oleh itu ketika berkomunikasi hendaklah menggunakan pilihan kata, ungkapan santun yang menandakan bahawa keperibadian orang itu memang baik. Begitu juga jika seseorang itu berpura-pura bersantun di hadapan khalayak sedangkan dia tidak ikhlas maka daia telah melanggar prinsip kesantunan.

Asmah Hj. Omar (2000), pula menyatakan kesantunan ialah kaedah atau strategi yang digunakan oleh penutur untuk mencapai tujuan tertentu. Strategi ini dikaitkan dengan kesantunan dan perlu dikuti dengan tingkah laku dan tutur kata yang santun. Strategi kesantunan melibatkan beberapa faktur seperti kesedaran akan peranan masing-nasing, k tentang perbezaan taraf sosial, kuasa dan keperluan mengawal perbincangan berdasarkan tajuk atau air muka yang meliputi maruah dan martabat.

Asmah Hj. Omar (2000), telah membahagikan kesantunan kepada dua jenis iaitu

i. kesantunan asas dan

ii. kesantunan berkala.

Kesantunan asas ialah kesantunan sedia ada yang merupakan pedoman bagi masyarakat berhubung antara satu sama lain. Dengan cara menunjukkan adanya sikap berbaik-baik antara satu sama lain yang menghendaki ahli masyarakat bersopan santun antara satu sama lain. Ini kerana dalam mana-mana masyarakat yang bertamadun ada kesopanan asas yang dikaitkan dengan didikan sejak awal lagi seperti yang terdapat dalam ajaran Islam atau agama-agama lain.

Kesantunan berkendala pula merujuk kepada kesantunan yang menggambarkan ucapan yang dilakukan oleh masyarakat dalam hubungan antara satu sama lain. Antara kendala tersebut ialah taraf dan peranan orang yang bercakap, di mana dan dalam keadaan yang bagaimana, apa yang dipercakapkan, mengapa percakapan itu berlaku dan cara percakapan disampaikan .

Di mana pula merujuk kepada latar perbincangan yang diadakan. Perbezaannya dapat dlihat melalui penggunaan bahasa dan suasana. Mengapa pula merujuk kepada tujuan sesuatu pertuturan itu disampaikan, sama ada setakat memberi maklumat, ulasan atau menggerakkkan tindakan manakala bagaimana pula merujuk kepada cara atau saluran perbincangan yang diadakan seperti bersemuka, melalui telefon, kaca televisyen atau sebagainya.

Bagi Asmah Hj. Omar (2000), kesantunan bukan strategi semata-mata sebaliknya kesantunan merupakan ciri budaya yang menghendaki ahli masyarakatnya bersopan santun dan menghormati antara satu sama lain. Pembinaan tingkah laku yang santun dalam kalangan orang Melayu adalah menerusi proses didikan yang panjang dan berterusan. Ini menjadi ciri budaya orang Melayu. Oleh hal yang yang demikian Islam adalah tunjang pembinaan budaya orang Melayu.

Berdasarkan takrifan-takrifan tersebut dapatlah dibuat kesimpulan santun berbahasa bermaksud kesopanan dan kehalusan bahasa yang digunakan oleh seseorang ketika berkomunikasi. Bahasa yang digunakan mestilah digunakan penuh dengan adab, tertib dan bertatasusila supaya wujud suasana komunikasi yang harmoni tanpa sebarang pergeseran atau konflik.

Kesimpulannya berdasarkan perbincangan di atas kesantunan dalam pangilan berbahasa mementingkan budaya dan masyarakat akan menunjukkan strategi kesantunan sesebuah masyarakat dengan jelas yang berkaitan dengan strategi budaya dan nilai masing-masing. Pemahaman dalam strategi kesantunan dalam kalangan masyarakat yang berbeza akan mendorong dan mengharmonikan masyarakat sejagat yang bertanggung jawab.

Fungsi budaya kesantunan dalam sistem panggilan orang Melayu

Konsep kesantunan berbahasa bagi orang Melayu tidak dapat dipisahkan dengan nilai-nilai Islam kerana ajaran Islam telah menjadi suatu cara hidup yang merangkumi semua tatacara dalam kehidupan orang Melayu termasuklah berbahasa. Nilai-nilai Islam menjadi pengukur dan penentu terhadap kesantunan orang Melayu. Jelasnya, konsep kesantunan orang Melayu ialah perlakuan berbahasa dan bukan berbahasa yang dilakukan atas keikhlasan kerana Allah Taala. Jadi, konsep kesantunan orang Melayu melibatkan hubungan tiga penjuru iaitu melibatkan penjagaan hubungan antara manusia dengan Tuhan (hablun minallah) serta memberatkan hubungan antara manusia (penutur) dengan manusia (hablun min al-nas) iaitu pendengar.

Kesantunan berbahasa telah berdarah daging dan menjadi lambang jati diri bangsa Melayu sejak zaman berzaman. Pendek kata, orang Melayu sudah sekian lama disinonimkan dengan kesantunan dalam berbahasa dan perlakuan. Jadi demi kelangsungan jati diri bangsa Melayu yang unggul dan gemilang, semestinya setiap lapisan masyarakat terus menyemarakkan penggunaan bahasa yang santun dalam kehidupan seharian. Seperti yang kita semua maklum, nilai murni dalam budi bahasa memberikan kekuatan sosial dan moral serta membentuk budaya tinggi sesebuah masyarakat. Bangsa yang maju mengamalkan bahasa budaya tinggi yang dituturkan dengan cara yang halus, menarik, berkesan, bersopan santun, mempunyai nilai estetik, intelektual dan nilai budaya yang mencerminkan tamadun dan kesusilaan bangsa yang berperibadi tinggi.

Dalam konteks sistem panggilan dalam keluarga masyarakat Melayu, aspek kesantunan merupakan antara perkara yang mesti ada kerana masyarakat Melayu terkenal dengan budi bahasa yang sopan dan lemah lembut. Segala nasihat, teguran atau larangan sering kali tidak dilakukan secara langsung. Sebaliknya bahasa berlapik digunakan agar orang yang menjadi sasaran tidak tersinggung dan diaibkan di hadapan khalayak. Dalam pantun juga, unsur nasihat dan teguran telah diwujudkan, seperti pantun berikut:

Sebab pulut santan binasa,

Sebab mulut badan binasa.

Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga,

Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa.

Kalong Bunga Buku 1.

Sebenarnya, semua orang sedar dan tahu tentang peri pentingnya berbahasa dengan santun terutamanya dalam negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia ini, namun akhir-akhir ini faktor globalisasi yang melanda telah mengubah nilai dan pandangan hidup sehingga amalan berbudi bahasa ini semakin terhakis dalam masyarakat. Kita tidak boleh membenarkan bangsa kita hilang kesopanannya, termasuk dalam penggunaan bahasa. Setiap lapisan masyarakat perlu memastikan aspek penting dalam ketamadunan bangsa dan hubungan sesama manusia tidak terhakis semata-mata kerana kita mahu dilihat moden,maju dan canggih.

Jadi, amatlah wajar seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa menguasai segala santun dan peraturan dalam bahasa Melayu seperti gelaran kekeluargaan, gelaran pergaulan, kata-kata alu-aluan, dan kata silaan supaya budaya beradab dalam masyarakat dapat dikekalkan. Budi bahasa dan ketatasusilaan semasa kita berwacana atau berbahasa akan menjadi titik penentu lambang dan dan citra diri serta sahsiah kita yang sebenarnya. Oleh itu, kepentingan kesantunan dan ketatasusilaan semasa berkomunikasi bukanlah sesuatu yang harus dipandang remeh. Amalan dan penerapan budi bahasa sama ada dalam komunikasi, ucapan, pertuturan atau panggilan atau dalam perlakuan dan pergaulan dapat dipraktikkan dalam beberapa institusi, antaranya:

Antara ibu bapa dan anak-anak

Pada asasnya, ibu bapa atau keluarga merupakan orang pertama yang perlu menerapkan nilai berbudi bahasa sama ada secara formal atau tidak formal kepada anak-anak. Ibu bapa wajar mendidik, membimbing dan menegur anak-anak supaya bertutur dengan baik, betul, bersopan, terpuji dan saling menghormati. Hal ini demikian kerana, telah terbukti anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mengutamakan kesantunan dalam berbahasa biasanya akan menjadi individu yang bersopan serta berbudi bahasa. Begitulah peri pentingnya gelanggang yang kecil di rumah dalam membentuk keperibadian yang unggul.

Bagi memupuk rasa hormat menghormati kepada ibu bapa, kata panggilan “mak”, “mama”, “ayah”, dan “abah” digunakan. Namun begitu sejak akhir-akhir ini kata panggilan “ummi”, dan “abi” telah diambil dari bahasa Arab dan panggilan “mummy” dan “daddy” pula diambil daripada bahasa Inggeris dan kata panggilan tersebut telah diasimilasikan ke dalam masyarakat Melayu. Begitu juga rasa hormat kepada datuk atau nenek kata panggilan “atuk”. “nenek”, “tok ayah”, dan “tok wan” digunakan. Tutur kata anak-anak kepada ibu bapa hendaklah sopan, lembut dan penuh hormat dalam apa jua keadaan. Anak-anak tidak boleh sekali-kali beraku atau berengkau dengan ibu bapa atau memanggil dengan nama mereka. Tanggungjawab memastikan anak-anak menggunakan bahasa yang santun terpikul di atas bahu ibu bapa kerana ibu bapa merupakan orang yang paling rapat dengan anak-anak. Pemupukan, penghayatan dan penggunaan bahasa yang sopan dalam masyarakat hendaklah sentiasa ditekankan kerana amalan ini menggambarkan budaya Melayu yang tinggi.

Antara adik beradik

Hubungan adik beradik disusun oleh urutan kelahiran iaitu dari anak yang sulung kepada yang tengah dan yang bongsu. Yang muda mesti menghormati yang tua, adik mesti menghormati kakak dan abang dengan memanggil secara baik seperti yang biasa dalam masyarakat. Contoh gelaran seperti “abang long”, “kak long”, “abang ngah”, “kak ngah”, “abang cik” , “kak cik” dan “adik” untuk orang yang lebih muda. Setiap pertuturan, pergaulan dan kelakuan antara adik beradik perlulah sopan dan saling menghormati. Selain itu, apabila berinteraksi dengan orang yang lebih tua mestilah menggunakan nada suara yang lembut dan kelakuan yang sopan. Tidak digalakkan orang yang lebih muda berjenaka sesuka hati, memerli atau menyampuk percakapan orang tua walau dalam keadaan biasa. Namun begitu, masyarakat yang lebih muda tetap diberi peluang untuk memberi pandangan atau meluahkan perasaan tetapi tetap dalam keadaan sopan dan berhemah.

Bagi negeri Perak khususnya yang tinggal di tebing sungai Perak sistem panggilan dalam keluarga agak berlainan. Nama penggilan untuk anak bergantung kepada urutan kelahiran atau umur seperti berikut :

Nombor Anak

Lelaki

Perempuan

1

Kulop

Lop

Sulong (long)

Yong

Yop

Long

Kak Yong

2

Ngah

Ngah

3

Alang

Panjang

Alang, Yang

Anjang

4

Anjang

5

Pandak

Andak

6

Uda

Puteh

Uda

Puteh

7

Teh

Uteh

Teh

8

Itam

Busu

Itam

Chu

Akhir

Chu

Busu

Penggunaan kata ganti nama diri dan kata panggilan yang sesuai menyerlahkan lagi penutur dan pendengar di samping menimbulkan rasa hormat antara penutur dengan pendengar, tanpa mengira usia dan taraf sosial mereka. Penggunaan kata ganti nama diri dan panggilan yang sesuai seperti “tuk”, “pak cik”, “mak cik” “encik” dan “puan” menyerlahkan unsur budaya yang diterapkan dalam kalangan masyarakat Melayu. Begitu juga dengan penggunaan kata ganti nama panggilan dalam keluarga seperti “saya”, “kamu”, “dia” menunjukkan situasi umur dan taraf sosial dalam kalangan penuturnya, manakala “kau” dan “ aku” menunjukkan situasi yang tidak formal, bentuk keakraban dan taraf penuturnya.

Selain kata panggilan , penggunaan bahasa halus juga boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Penggunaan bahasa halus yang beradat, bertatasusila dan berbudaya tinggi dapat menyerlahkan darjah kesopanan dan keperihatinan masyarakat dalam mempamerkan akhlak yang tinggi. Penggunan bahasa halus turut didedahkan melalui penggunaan bahasa kiasan dan peribahasa untuk membolehkan seseorang menyatakan sesuatu secara halus dan secara tidak langsung. Sehubungan dengan hal itu, mustahak bagi kita untuk memahami bentuk santun dalam masyarakat Malaysia agar dapat berkomunikasi dan berinteraksi dengan menggunakan bahasa yang tepat dan lembut. Kata sapaan panggilan dalam keluarga seperti “hoi”, kata makian seperti “lahabau” amat tidak digalakkan.

Penggunaan Kata Ganti Nama

Kesantunan berbahasa dalam sistem panggilan dalam keluarga masyarakat Melayu boleh dimanipulasikan melalui beberapa bentuk dan penggunaan bahasa. Penggunaan kata ganti nama merupakan salah satu aspek penting dalam kesantunan berbahasa bahasa Melayu. Kata ganti nama merupakan antara bentuk bahasa yang digunakan oleh seseorang untuk memanggil orang yang mendengar atau diajak bercakap. Menurut Teo Kok Seong, masyarakat Melayu menganggap kata ganti nama “aku”, “awak”, “kamu” dan “engkau” sebagai bentuk kasar jika digunakan dalam percakapan atau interaksi dengan pihak yang lebih tua, berstatus dan berkuasa oleh pihak yang bercakap yang lebih muda, kurang berstatus dan kurang berkuasa. Walau bagaimanapun kempat-empat kata ganti nama berkenaan boleh digunakan secara sopan semasa bercakap atau berinteraksi, antaranya ahli keluarga mereka yang sudahpun akrab, atau situasi umur mereka setara.

Perlakuan Bahasa Bukan Verbal

Dalam interaksi keluarga dalam masyarakat Melayu, interaksi tidak selalu bergantung kepada pemilihan perkataan dan struktur ayat. Penekanan utama dalam konteks kesantunan berbahasa, dalam penggunaan bahasa yang sesuai dalam bahasa Melayu ialah cara perkataan atau frasa diucapkan dan sering kali disertai oleh gerak badan yang melibatkan air muka, isyarat tangan serta gaya dan kedudukan badan pihak yang bercakap. Anak-anak Melayu sentiasa diajar menggunakan tangan kanan untuk memegang makanan dan apabila memberi dan menerima sesuatu. Penggunaan tangan kiri hendaklah dielakkan. Memberi dan menerima sesuatu daripada seseorang dengan menggunakan tangan kiri ialah perbuatan yang tidak sopan dan tidak selari dengan ajaran Islam.

Jika seseorang itu terpaksa menuding kepada sesuatu semasa bercakap atau berinteraksi terutamanya dengan pihak yang lebih tua atau yang dihormati dengan tujuan untuk menunjukkan seseorang atau arah, jari telunjuk tidak boleh digunakan. Lebih sopan jika ibu jari kanan digunakan. Dalam masyaakat Melayu, menuding dengan jari telunjuk dalam situasi tertentu boleh dianggap sebagai perbuatan meninggikan diri, yakni dalam pengertian mengarah atau memerintah pihak yang mendengar. Aapabila seseorang itu harus lalu di hadapan pihak yang lebih tua, yang lebih tinggi tarafnya atau pihak yang lebih dihormati seseorang itu hendaklah meminta izin terlebih dahulu dengan melafazkan ungkapan “minta lalu” atau “tumpang lalu”. Ucapan meminta izin ini boleh digantikan dengan perlakuan bukan verbal, antaranya menundukkan kepala dan membongkokkan badan sedikit ketika lalu sambil meluruskan tangan kanan ke bawah. Perbuatan ini dianggap sopan dalam masyarakat Melayu.

Kesimpulan.

Kita semua berupaya untuk mempertingkat budi pekerti diri dalam keluarga bermula dengan kata panggilan dalam keluarga yang bermula dengan suara hati dan pertuturan. Allah s.w.t. dalam surah an-Nisa’ (ayat 148) berfirman, yang bermaksud “ Allah tidak suka akan perkataan-perkataan jahat yang keluar dari mulut seseorang melainkan perkataan (pengalaman) yang keluar dari mulut orang yang dizalimi. ( yang menyebut keburukan yang dilakukan ke atasnya dalam pengaduannya dan Allah maha mendengar lagi maha mengetahui” Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya “ sesungguhnya Allah menyukai sikap berlemah lembut dalam semua perkara”. Begitu dengan ajaran agama-agama lain yang turut menekankan kepentingan amalan berbudi bahasa dalam kehidupan seharian. Penggunaan aspek kesantunan ketika berkomunikasi akan memberikan beberapa implikasi. Antaranya menyerlahkan budaya kehidupan masyarakat Malaysia yang kaya dengan adab sopan serta halus. Selain itu melambangkan ketingian budi pekerti dan dipandang mulia dalam pergaulan hidup manusia. Bagi masyarakat Melayu “bahasa menunjukkan bangsa” dan bahasa itu tidak boleh dijual beli”. Selain itu penggunaan bahasa santun dalam panggilan dalam keluarga bertujuan untuk menunjukkan rasa hormat dan santun serta mengekakkan sebarang perlakuan yang boleh dianggap “kasar”.

Sebagai kesimpulannya dengan mengamalkan kesantunan berbahasa ketika berkomunikasi, kita akan digolongkan sebagai ahli masyarakat yang peramah, bertimbang rasa, berfikiran positif, mengamalkan sikap toleransi, bersopan santun, jujur dengan tetamu, bermoral dan baik hati. Ini secara tidak langsung kita akan mengekalkan peribadi yang mulia sekaligus menonjolkan peribadi bangsa yang lemah lembut dan tinggi peradaban. Penggunaan bahasa Melayu yang santun dikaitkan dengan tanggapan dan konsep ‘reti bahasa’. Kata pepatah Melayu, ``Yang tua dihormati, yang muda disayangi”

RUJUKAN

Asmah Hj. Omar.(2000). Wacana perbincangan, perbahasan dan perundingan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sarian.(2007). Bahasa sebagai jati diri bangsa: Isu, cabaran dan keupayaan pelastarian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Fishman. J. Ferguson & Das Gupta.(Ed. 1968). Language problem of developing nations. New York : John Wiley.

Kamus Dewan Edisi Baharu. (1984). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Leech, Geoffrey, N (1983). Principles of pragmatics. London : Longman.

Samuel P.Huntington, 1997, The Clash of Civilizations and The Remaking of World Order, London: Simon & Schuster.

Teo Kok Seong.(2003) . Kesantunan berbahasa kes bahasa Melayu. Dewan Bahasa Mac hal. 14-23. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zaaba. (1964). Kalong bunga buku 1. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka