Friday, January 27, 2012

SIMBOL BINATANG DALAM PANTUN MELAYU

Analisis Simbolisme Binatang dalam pantun Melayu

Pengenalan

Simbol berasal daripada kata Greek, sumbolon yang akar katanya ialah sumballein bermaksud “ to agree, literally, cast together.”(Scott, 1974, hal. 283). Kata simbol yang dipakai dalam bahasa Melayu adalah pinjaman daripada kata Inggeris, symbol, yang berasal daripada bahasa Greek, sumbolon. Simbol mempunyai peranan yang luas dalam kehidupan manusia. Dalam karya sastera simbol berperanan untuk menyampaikan maksud dan pemikiran pengarang tentang kehidupan manusia.

Menurut Shahnon Ahmad (1975,hal. 8) simbol merupakan unsur bahasa kerana melalui simbol manusia dapat berkomunikasi secara efektif bagi masud tertentu . Perbincangan dalam penulisan ini tentang simbol binatang dalam pantun Melayu yang banyak terdapat dalam masyarakat Melayu. Hal ini disebabkan alam binatang lebih dekat dengan kehidupan orang Melayu dahulu. Mereka dikelilingi oleh pelbagai binatang seperti tupai, ayam, kerbau dan sebagainya mana kala unggas seperti burung merpati, semut, nyamuk dan sebagainya mana kala hidupan di air seperti buaya, ikan, lintah, belut dan sebagainya. Pencipta alam (Allah) telah menjadikan binatang dalam alam ini bagi mengindahkannya. Hal ini dapat dibuktikan dari firman-Nya yang bermaksud:

Dan susungguhnya kami telah jadikan binatang-binatang dan kami hiasi

langit itu bagi orang yang melihatnya

(al-Jirj :161)

Saya merasakan bahawa pengunaan simbol binatang dalam sastera khususnya pantun Melayu mengindahkan lagi pantun itu terutamanya rima atau maksud pantun tersebut disamping menyindir mengkritik atau memuji seseorang. Misalnya dalam pantun berikut :

Pantun burung

Pulau Sebang kampung terkurung,

Tua muda orang berladang;

Kalau abang seperti burung,

Sekarang juga terbang datang.

(Bunga Kalong, hal. 112)

Sarung kebaya kain imbangan,

Tenun berlapis pakan di tepi;

Burung saya burung kayangan,

Minum bertapis makan bertampi.

(Bunga Kalong, hal. 138)

Sarawak sungainya sempit,

Sungguh sempit bercabang lima;

Tuan merak saya nan pipit,

Manakah boleh terbang bersama.

(Bunga Kalong, hal. 138)

Masyarakat Melayu pada zaman dahulu melihat dan menganggap burung yang berbadan kecil itu mempunyai pangkat yang rendah dan dianggap hina mana kala burung yang besar dan cantik mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia. Ini dapat dilihat melalui burung merak yang mempunyai paras rupa yang cantik jika dibandingkan dengan burung pipit. Begitu juga jika burung itu terbang diawangan dianggap tinggi darjatnya seperti .burung cenderawsih

Berdasarkan ketiga-tiga pantun di atas menunjukkan bahawa orang yang rendah darjatnya sanggup mengikut arahan dan tidak boleh bersama-sama dengan mereka yang berkedudukan tinggi. Begitu juga bagi golongan berkedudukan yang mempunyai banyak kemewahan dianggap mulia di sisi masyarakat. Begitu juga masyarakat Melayu yang sensitif akan peri hal alam sekitar menggunakan simbol burung dalam peribahasa Melayu seperti enggang sama enggang, pipit sama pipit, jinak-jinak merpati, merpati makan di telapak tangan. Begitu juga dengan burung dijadikan lirik lagu merpati dua sejoli, terbang dua sekawan, nyanyian Hail Amir dan Uji Rasyhid

Buaya

Udang galah satali lima,

Kuala Perak tidak berpantai;

Orang hadiah saya terima,

Buaya tidak menolak bangkai.

(Bunga Kalong, hal. 135)

Orang berkedai berjual beli,

Bahasa jangan melutu-lutu:

Kalau panda menjaga diri,

Buaya pun segan buat tak tentu.

(Bunga Kalong, hal. 135)

Pantun di atas mengingatkan bahawa buaya adalah simbol binatang buas, ganas dan sangat berbahaya. Binatang ini melambangkan kejahatan. Jika dilihat habitat binatang ini seolah-olah binatang pendiam dan baik Masyarakat memandang bahawa manusia yang bersifat demikian haruslah dijauhi.dan berhati-hati kerana pandai berpura-pura dan mengambil kesempatan akan kelemahan orang lain. Bagi golongan wanita harus berwaspada akan lelaki bersifat demikian. Jadi tidaklah menghairankan terdapat peribahasa yang berbunyi masakan buaya menolak bangkai, mulut buaya, buaya darat , buaya tembaga dan lain-lain lagi.

Ayam

Kalau tuan memintal ijok,

Tali dipegang dipial-pialkan;

Malangnya ayam tidak berinduk,

Menampi orang barulah makan.

(Bunga Kalong, hal. 79)

Masyarakat Melayu pada zaman dahulu ayam merupakan binatang peliharaan kerana binatang ini tidak perlu penjagaan yang rapi. Melihat kepada gelagat anak ayam yang terlalu rapat dengan ibu maka dijadikan panduan sebagai nasihat. Hal ini demikian kerana tidak mahu masyarakat Melayu tersinggung akan kata-kata yang menyakitkan hati. Dengan kiasan ini diharapkan agar dapat mengubah tingkah laku masyarakat.. Ayam dianggap sebagai golongan rakyat biasa. Jika kita melihat gelagat ibu ayam yang akan memanggil semua anaknya jika terjumpa makanan .Ini menunjukkan bahawa hubungan ibu dan anak ayam yang begitu akrab. Itulah ada peribahasa Melayu yang menyatakan masyarakat Melayu dalam kehidupan mengikut resmi ayam iaitu mencari rezeki bergantung kepada ibu bapa mana kala orang Cina mengikut resmi itik yang bermaksud mencari rezeki masing-masing apabila sudah dewasa

Berdasarkan pantun tersebut memperlihatkan anak-anak ayam yang tidak beribu hidupnya tidak keharuan. Selepas kematian ibu, anak ayam hanya berharap akan belas ihsan orang yang menampi padi. Ayam ini dikiaskan dengan manusia akan kehilangan arah atau tujuan jika pemimpin tiada. Bagi sesebuah keluarga anak-anak akan tidak kehauan jika ibu mereka tiada dan mengharap akan belas ikhsan dari masyarakat.

Semut

Anak Cina mudik ke Linggi,

Patah Kemudi tidaklah sampai;

Tuan bunga di pokok tinggi,

Semut di bumi bila tercapai.

(Bunga Kalong, hal. 100)

Masyarakat pada zaman dahulu menggunakan simbol semut sebagai orang yang rajin bekerja. Selain itu digambarkan juga sebagai manusia kecil yang tidak mempunyai keupayaan tinggi kerana keadaan fizikalnya. Dalam pantun di atas menggambarkan bagaimana golongan bawahan yang tidak akan dapat bersaing dengan golongan berkedudukan. Begitu juga simbol semut digunakan dalam peribahasa Melayu iaitu bagai semut menghimpun melukut, rajin seperti semut, mati semut kerana gula dan sebagainya.

Tupai

Satu, dua, tiga dan empat,

Lima, enam. tujuh setengah;

Sepandai-pandai tupai melompat,

Sekali sekala jatuh ke tanah.

(Bunga Kalong, hal. 136)

Tupai merupakan binatang yang suka melakukan kerosakkan terutama tanaman dan buah-buahan. Binatang ini sangat lincah dalam tindakan ketika berada di atas pokok.Walaupun tangkas, sesekali akan jatuh ke tanah kerana kealpaan.Gelagat dan tingkah laku binatang ini dilihat oleh masyarakat pada zaman dahulu dan dijadikan simbol bagi mengkritik atau menyindir masyarakat yang selalu melakukan kejahatan akhirnya akan tertangkap juga. Begitu juga masyarakat menggunakan tupai dalam simpulan bahasa seperti kelapa ditebuk tupai.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan ringkas di atas kita dapati bahawa alam binatang menjadkan sumber idea, ilham dan pemikiran yang dilenturkan dalam masyarakat Melayu. Simbol binatang yang digunakan didapati dekat dengan kehidupan penyair dan dijadikan makna tersembunyi dan terserahlah kepada kita untuk mentafsir unsur tersurat dan tersirat. Dalam bangsa Melayu simbol itu meliputi perbandingan, kiasan, ibarat, peribahasa dan citra. Penggunaan simbol dapat dikesan dalam keseluruhan budaya manusia, misalnya sastera, seni, tarian, falsafah dan antropologi. Simbol-simbol itu pula dikaitkan secara intim dengan pemikiran manusia yang melahirkannya.

Bibliografi

Mohamad Azmi Ab. Rahman.(2004). Kesusasteraan Melayu dimensi bahasa dan pemikira: Kedah: Universiti Utara Malaysia. Sintok.

Scott, A.F. (1974): Current Literary Terms: A Concise Dictionary of Their Origin and Us. : London:The MacMillan Press Ltd

Shahnon Ahmad. (1975). Kekaburan puisi A.S. Amin. Tesis Ijazah Sarjana .Universiti Sains Malaysia : Pulau Pinang:

Zaaba. (1964). Kalong Bunga buku 1. Kuala Lumpur :Dewan Bahasa dan Pustaka

No comments:

Post a Comment